Vidakovic sudah lama idam sertai Liga M - Utusan Malaysia

Vidakovic sudah lama idam sertai Liga M

melaka
RISTO Vidakovic memantau sesi latihan pasukan Melaka United dalam persiapan menghadapi Liga Malaysia 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jurulatih baharu Melaka United (MU), Risto Vidakovic sudah lama bercita-cita ingin menjadi jurulatih dalam kancah bola sepak Liga Malaysia (Liga M), namun tidak pernah mendapat peluang atau tawaran daripada mana-mana pasukan.

Bagaimanapun, kata bekas pemain kebangsaan Yugoslavia (kini Bosnia Herzegovina) berusia 53 tahun itu, beliau sudah memendam hasrat begitu lama dan hanya mengikuti liga tersebut daripada laporan akhbar dan portal berita.

“Saya tidak sangka dapat tawaran daripada MU dan terus menerimanya kerana memang sudah lama saya berhasrat ingin datang ke Malaysia.

“Saya terima tawaran itu kerana saya tidak lagi selesa untuk terus mengendali kelab Borneo FC dalam Liga BRI1 sejak menjadi jurulatih pada Oktober tahun lalu.

“Ada berlaku pergeseran antara saya dengan pihak pengurusan kelab dari Indonesia menyebabkan saya menamatkan kontrak lebih awal dan ambil keputusan menerima tawaran MU,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Vidakovic turun mengendalikan sesi latihan pertama Skuad Sang Kancil di Stadium Hang Tuah selepas selesai menjalani kuarantin, Jumaat lalu.

Begitupun sesi latihan itu tidak disertai empat pemain import iaitu Ifedayo Olusegun, Sony Norde, Emmanuel Oti dan Justin Baas kerana ketika ini masih belum tiba menyertai pasukan itu.

Begitupun, bekas jurulatih skuad Ceres-Negros dalam Liga Profesional Filipina dari 2016 hingga 2020 itu mengakui, tugas paling mencabar apabila me­nerima tawaran MU.

Jelasnya, beliau mempunyai tempoh tidak sampai sebulan membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk saingan Liga Super yang bermula bulan depan.

MU akan berdepan PJ City dalam perlawanan pertama 5 Mac ini.

“Saya akan cuba lakukan sesuatu untuk MU bagi cabaran Liga Super musim ini.

“Ini saya mahu lakukan untuk pihak pengurusan, pemain dan penyokong,” ujarnya.

Vidakovic berkata, beliau mempunyai tiga perlawanan persahabatan menentang Terengganu, Selangor dan Selangor B bagi menilai kemampuan pasukan yang dibimbing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya