Alcaraz mara ke pentas akhir ATP Finals

Alcaraz mara ke pentas akhir ATP Finals

CARLOS Alcaraz meraikan kemenangan ke atas Ben Shelton dalam aksi separuh akhir ATP Finals di Turin, Itali hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TURIN: Carlos Alcaraz bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Ben Shelton 3-6, 6-3, 7-6 (7/1) sekali gus mengesahkan tempatnya di final ATP Finals, hari ini.

Pemain Sepanyol itu yang memperlihatkan sedikit kelemahan dalam permainan, tetap berjaya mengatasi cabaran Shelton untuk melangkah ke final esok dan bakal berdepan sama ada pemain nombor satu dunia, Alexander Zverev atau Daniil Medvedev dari Rusia.

Alcaraz yang berdepan kecederaan paha kiri sejak Rabu, meneruskan rentak kemenangan kepada 13 perlawanan berturut-turut termasuk kejayaan merangkul gelaran di Vienna dan Paris.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, kemenangan itu bukan mudah apabila pemain berusia 23 tahun tersebut bergelut untuk menampilkan permainan bebas seperti kebiasaannya sebelum berjaya mengubah momentum perlawanan.

“Saya sedikit kecewa pada permulaan kerana tidak memulakan perlawanan seperti yang saya mahukan, sejujurnya, tetapi saya gembira kerana berjaya bangkit pada set kedua, kekal fokus terhadap permainan sendiri dan akhirnya bermain dengan baik,” katanya.

Alcaraz yang sebelum ini tidak kehilangan servis dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan, dikejutkan apabila servisnya dipecahkan pada permainan pertama sebelum Shelton mendahului 3-0 dan menutup set pertama dalam tempoh 31 minit.

Bagaimanapun, pemain Sepanyol itu kembali agresif pada set kedua apabila memecahkan servis Shelton untuk mendahului 5-3 sebelum menyamakan kedudukan, manakala set penentuan berlangsung sengit tanpa sebarang peluang break point sehingga kedua-duanya terpaksa melalui tie-break.

Alcaraz memanfaatkan kesilapan Shelton yang melakukan dua kesalahan tidak dipaksa untuk mendahului 5-1 sebelum menutup tie-break dengan kemenangan 7-1, sekali gus mengesahkan kemaraan ke final selepas turut menewaskan pemain Amerika itu pada final Paris Masters awal bulan ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini