PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan tujuh pemain warisan yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen tidak boleh mewakili skuad kebangsaan biarpun tempoh penggantungan tamat.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, larangan mewakili Malaysia terhadap tujuh pemain warisan tersebut kekal seperti mana yang telah dimaklumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Ab Ghani, status tujuh pemain terbabit masih tertakluk kepada hukuman yang dikenakan badan induk bola sepak dunia, sekali gus menutup ruang untuk mereka kembali mewakili Malaysia dalam tempoh terdekat.
“Tak boleh ya. Pemain-pemain tersebut tak boleh mewakili negara. Pasal FIFA tak benarkan,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan tujuh pemain berkenaan kembali menyarung jersi Harimau Malaya selepas berakhir penggantungan.
Ketujuh-tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel.
FIFA sebelum ini menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain berkenaan selepas mendapati berlaku pelanggaran peraturan berkaitan pemalsuan dokumen dalam proses kelayakan pemain untuk mewakili Malaysia.
Badan induk bola sepak negara dikenakan denda CHF350,000 (sekitar RM2 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 selain penggantungan selama 12 bulan yang akan berakhir hujung bulan ini.
Kes berkenaan kemudiannya dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuan di peringkat Jawatankuasa Rayuan FIFA ditolak.
Dalam pada itu, Ab Ghani turut memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi membincangkan isu berkaitan status tujuh pemain terbabit.
Beliau menegaskan perkara berkaitan kewarganegaraan dan pasport bukan berada di bawah bidang kuasa FAM, justeru badan induk itu perlu mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa sebelum sebarang tindakan selanjutnya dibuat.
“Perkara berkaitan kewarganegaraan dan pengeluaran pasport adalah di luar bidang kuasa FAM. Jadi, kami semua akan mendapatkan penjelasan dan kerjasama rapat dengan KDN bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.
Ab Ghani sebelum ini turut memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia atas kontroversi itu dan memberi jaminan FAM akan mengambil langkah sewajarnya supaya isu pemalsuan dokumen seperti itu tidak berulang. – UTUSAN











