SEPANG: Charles Leclerc mengungguli sesi latihan bebas kedua (FP2) Grand Prix Formula Satu (F1) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini, selepas pelumba Ferrari itu mencatat masa terpantas mengetepikan Isack Hadjar dan Lando Norris.
Leclerc merekodkan masa sepusingan 1 minit 37.528 saat (s), manakala pemandu Red Bull Racing, Hadjar ketinggalan +0.099s di tempat kedua, diikuti Norris yang melengkapkan sesi tersebut dalam kelompok tiga terbaik (+0.137s).
Sewaktu FP2 berlangsung, cuaca di Sepang tidak menentu dengan awan gelap mula menyelubungi litar, selain ramalan hujan mencecah 90 peratus.
Keadaan itu menyebabkan kebanyakan pelumba segera keluar sebaik lampu hijau dinyalakan sekitar pukul 4 petang, dengan rata-rata pemandu menggunakan tayar medium, manakala, lima pelumba lain memilih tayar lembut.
Juara dunia empat kali, Max Verstappen, meneruskan rentak positif daripada FP1 apabila mencatat masa terpantas pada peringkat awal sesi menerusi catatan 1:37.785s, sekali gus mendahului George Russell dari Mercedes AMG Petronas dengan kelebihan kira-kira 0.2 saat.
Bagaimanapun, kedudukan itu berubah apabila Leclerc mengambil alih tempat teratas pada pertengahan sesi, sebelum Hadjar melonjak ke tangga kedua untuk memberikan saingan kepada pesaing di kelompok hadapan.
Russell dan beberapa pelumba lain turut beralih kepada tayar lembut kira-kira 15 minit selepas sesi bermula bagi mendapatkan catatan masa terbaik sebelum kemungkinan hujan melanda di SIC.
Sementara itu, sesi turut dicemari insiden membabitkan pemandu Audi, Gabriel Bortoleto dan Lewis Hamilton dari Ferrari.
Bortoleto terpaksa mengelak jentera yang dipandu Hamilton yang bergerak perlahan di laluan perlumbaan dan insiden itu turut mendapat perhatian pegawai perlumbaan.
Juara dunia tujuh kali, Hamilton kemudian memaklumkan melalui radio bahawa dia tidak dapat melihat menerusi cermin sisi kanannya. – UTUSAN










