Sadat mahu jawab cabaran 65 meter

Sadat mahu jawab cabaran 65 meter

Sadat Marzuqi Ajisan mengukur keupayaan sendiri apabila turun beraksi dalam acara baling tukuk besi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Jumaat ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu-satunya wakil Malaysia dalam acara baling tukul besi lelaki, Sadat Marzuqi Ajisan tidak mahu dibelenggu bayangan legasi Jackie Wong sebaliknya memilih mengukur keupayaan sendiri apabila turun beraksi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Jumaat ini.

Penampilan sulung di pentas Sukan Asia itu hadir ketika Sadat masih dalam proses membina nama sendiri, dengan catatan terbaik peribadinya 65.24 meter (m) yang dilakar pada Terbuka Taiwan, Jun lalu masih menjadi sandaran utama untuk menguji kemampuan berdepan kelompok terbaik Asia.

“Bagi saya, saya perlu buat yang lebih baik daripada yang sebelum ini dan sekarang saya hanya fokus kepada diri sendiri untuk memperbaiki prestasi serta memberikan yang terbaik.

“Sasaran saya adalah untuk memberikan yang terbaik dengan memberi fokus kepada teknik kerana sepanjang dua bulan ini saya banyak menumpukan aspek itu manakala kekuatan pula saya rasa sudah mencukupi untuk menghasilkan balingan optimum,” katanya sebelum berlepas ke Jepun.

Cabaran Sadat bagaimanapun bukan kecil apabila catatan terbaiknya masih 2.98m di belakang rekod kebangsaan 68.22m milik Jackie yang dicipta pada Terbuka Malaysia 2019, selain perlu berdepan jaguh seperti wakil Jepun, Shota Fukuda dan Tatsuto Nakagawa serta juara bertahan dari China, Wang Qi yang sudah menghampiri atau melepasi 74m.

Lebih menarik, Sadat menuju final bukan dengan persediaan latihan sepenuhnya kerana rutin hariannya kini perlu dibahagikan antara persiapan Sukan Asia dan latihan amali sebagai guru Pendidikan Jasmani Universiti Putra Malaysia (UPM) di SMK Seri Serdang.

“Untuk mencapai 65m, itu satu cabaran juga kerana sekarang saya menjalani latihan hanya satu sesi sehari disebabkan pada waktu pagi saya menjalani latihan amali di sekolah.

“Memang ada sedikit kesukaran untuk menjalani latihan secara konsisten, tetapi tekanan daripada tempat saya menjalani latihan amali dan tempat latihan itu saya anggap sebagai satu motivasi yang baik untuk saya,” katanya.

Situasi itu menjadikan tumpuan terhadap teknik semakin penting apabila Sadat kini dibimbing Tan Song Hwa dan jurulatih dari Algeria, Hakim Toumi dengan penekanan diberikan terhadap teknik serta radius balingannya dalam tempoh dua bulan terakhir.

Di Nagoya, Sadat tidak akan bersama Hakim kerana tanggungjawab menguruskan keperluannya sepanjang kejohanan akan dipikul jurulatih baharu, Robert Fazekas, namun atlet berusia itu tidak melihat pertukaran jurulatih sebagai masalah kerana Fazekas pernah menjalani latihan bersama Hakim dan mempunyai kesinambungan ilmu yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×