Piala FA: Kelantan City mara ke suku akhir

Piala FA: Kelantan City mara ke suku akhir

PEMAIN Kelantan City meraikan kejayaan melayakkan diri ke suku akhir Piala FA selepas aksi menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban petang tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kelantan City FC (KCFC) melayakkan diri ke suku akhir Piala FA selepas menang secara agreget 4-3 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi kedua Piala FA pusingan 16 petang tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, NSFC menang dalam perlawanan itu dengan jaringan, 3-2.

Kelantan City turun padang dengan kelebihan dua gol dalam perlawanan pertama pada 2 September lalu di Kota Bharu.

Pasukan tuan rumah berada di depan dengan gol pertama pada minit kelima hasil tandukan Yusuke Minagawa yang menerima bola hantaran Muhammad Hairiey Hakim.

Pada minit ke-34, Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti selepas Muhammad Akhyar Rashid dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gol pelawat, Mohammad Fikri Che Soh.

Muhammad Akhyar mudah menyempurnakan sepakan penalti itu sekaligus menjadikan kedudukan perlawanan kepada 2-0 manakala agreget pula ialah 2-2.

Memasuki babak separuh masa kedua, Kelantan City bermula dengan pantas bagi mencari gol untuk mengatasi kedudukan secara agreget.

Minit ke-52, pasukan pelawat mendapat sepakan sudut yang diambil oleh Muhammad Hadin Azman seterusnya Dandy Arbdallah melonjak menanduk masuk bola ke gawang Negeri Sembilan.

Seminit selepas itu, pelawat memperoleh gol melalui sepakan jarak jauh Muhammad Asraff Alifuddin Yasin yang gagal diselamatkan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhammad Azri Ab. Ghani.

Negeri Sembilan menjaringkan gol ketiga melalui Park Yiyong yang menanduk masuk sepakan sudut oleh Jovan Motika namun jaringan itu tidak cukup menghalang Kelantan City ke suku akhir Piala FA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×