LTdL: Malaysia perlu tiga pelumba di depan buru jersi putih

LTdL: Malaysia perlu tiga pelumba di depan buru jersi putih

Muhammad Zawawi Azman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat Malaysia memburu jersi putih sebagai pelumba terbaik Asia di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 bukan sekadar soal kemampuan seorang pelumba, sebaliknya menuntut kekuatan pasukan untuk konsisten meletakkan tiga pelumba terbaik dalam kelompok hadapan.

Ketua pasukan skuad berbasikal lebuh raya negara, Muhammad Zawawi Azman berkata, sasaran itu masih realistik berdasarkan kemampuan pelumba tempatan dalam pendakian, terutama apabila LTdL kali ini menyediakan tiga ujian utama di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Menurutnya, Malaysia juga mempunyai ruang untuk mencabar dominasi pasukan Asia Tenggara selepas Indonesia muncul pasukan Asia terbaik pada edisi tahun lalu, sekali gus menjadikan persaingan kali ini lebih terbuka.

“Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, tetapi kami cuba mencabar pasukan terbaik Asia, malah tahun lepas kita tahu Indonesia muncul pasukan Asia terbaik, jadi kami rasa mereka tidak jauh daripada kita sebagai negara Asia Tenggara dan mungkin kita boleh cuba mencabar kategori itu.

“Untuk menang kategori pasukan Asia terbaik, kita perlu ada tiga pelumba yang sampai dahulu pada setiap peringkat kerana kedudukan keseluruhan pasukan Asia dikira berdasarkan tiga pelumba Asia terbaik daripada pasukan yang sama,” katanya.

Zawawi berkata, selain Indonesia, Malaysia perlu mengambil kira cabaran Thailand, Nusantara Pro Cycling Team, Malaysia Pro Cycling (MPC) dan Terengganu Cycling Team (TSG) dalam perebutan kedudukan terbaik Asia.

“Bagi pelumba yang pakar mendaki, dua hari itu memang penting kerana peringkat keempat dan kelima berlangsung secara berturut-turut membabitkan Cameron Highlands dan Genting Highlands.

“Bagi pasukan Malaysia, kami cuba melakukan breakaway (pecahan awal) sebelum pendakian supaya dapat berada di hadapan dan kemudian menyertai kelompok peloton utama ketika mendaki,” katanya.

Dalam pada itu, Zawawi yang berpengalaman menyertai LTdL berkata, pemilihan skuad negara kali ini turut menitikberatkan pelumba yang mampu mendaki serta menghadapi pelbagai bentuk cabaran, bukannya bergantung kepada satu kekuatan sahaja.

Skuad negara turut menjalani kem latihan di Gerik sebagai persiapan menghadapi laluan sukar LTdL 2026 selain menguji kemampuan di sekitar Gunung Jerai yang dijangka menjadi antara penentu penting perlumbaan.

“Daripada Gurun terus masuk ke Gunung Jerai memang sempit kerana laluan terus mendaki, tetapi saya rasa tidak ada masalah kerana pasukan Malaysia pernah berlumba di Gunung Jerai sebelum ini, cuma ketika mula masuk ke laluan itu mungkin berlaku perebutan posisi seperti ketika mahu memasuki pecutan dan sebarang kesilapan boleh mengundang kemalangan yang tidak diingini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×