SUNGAI PETANI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap laluan pendakian mencabar di puncak Gunung Jerai dapat terus dikekalkan dalam kalendar perlumbaan berbasikal berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) bagi edisi-edisi akan datang.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pengenalan lokasi pendakian baharu itu bukan sahaja memberi dimensi cabaran berbeza kepada barisan pelumba antarabangsa, malah menyuntik keterujaan luar biasa kepada peminat sukan berbasikal tempatan.
“Insya-Allah, kita harapkan semua check point yang menarik ini dapat dikekalkan dan keterujaan itu dapat kita rasai secara bersama,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan sesi pelepasan Peringkat 3 LTdL 2026 di Taman Jubli Perak, hari ini.
Mengulas mengenai penganjuran LTdL 2026 Taufik berkata, kejohanan yang memasuki edisi ke-30 itu memiliki keunikan tersendiri selepas menawarkan tiga penamat dekat puncak di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands daripada keseluruhan jarak perlumbaan sejauh 1,258.5 km.
“Ini antara check point yang sangat ditunggu-tunggu oleh pelumba dari seluruh dunia yang mengambil bahagian pada edisi kali ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan Jemaah Menteri telah memberi kelulusan kepada KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) untuk terus bertindak sebagai penganjur perlumbaan berstatus 2.0ProSeries itu bagi tempoh tiga tahun akan datang.
LTdL 2026 dijadual berakhir di Peringkat 8 membabitkan laluan dari Muar ke Putrajaya sejauh 188.3km pada 4 Oktober ini. – UTUSAN











