Harimau Malaya mesti No.1 Asia Tenggara

Harimau Malaya mesti No.1 Asia Tenggara

Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd. Amin (tujuh dari kiri) bersama Ab. Ghani Hassan (enam dari kanan) memotong kek sempena sambutan 100 Tahun FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, kelmarin. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan mahu skuad Harimau Malaya kembali digeruni dan menjadi pasukan No.1 di Asia Tenggara dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ab Ghani yang dipilih sebagai Presiden FAM pada Kongres Luar Biasa, Khamis lalu menjelaskan, menaikkan kembali kedudukan Harimau Malaya dalam ranking FIFA menjadi antara perkara utama tumpuannya.

Menurut Ghani, skuad kebangsaan yang kini berada di ranking ke-136 dunia mempunyai peluang untuk menembusi kelompok 100 dunia dan usaha itu akan bermula di kejohanan Piala ASEAN FIFA 2026 yang bermula esok di Jakarta, Indonesia.

Beliau berkata, sasaran awal yang diharapkan adalah untuk meletakkan Harimau Malaya sebagai pasukan No. 1 di rantau Asia Tenggara dan perkara itu boleh dicapai menerusi kerjasama semua pihak dalam memajukan bola sepak negara.

“Sekurang-kurangnya peringkat awal ini, kita mestilah menjadi nombor satu di peringkat ASEAN. Bukan tidak boleh buat, boleh buat, tapi dengan penuh keyakinan dan bukan FAM sahaja yang akan terbabit.

“Kita mengharapkan juga semua pihak, pemegang taruh dan sebagainya harus terbabit dalam memastikan bola sepak negara kembali pulih atau kembali cemerlang,” katanya selepas majlis sambutan 100 tahun FAM, kelmarin.

Untuk rekod, Harimau Malaya pernah berada di kedudukan ke-116 dalam ranking FIFA, November tahun lalu sebelum jatuh mendadak hingga ke tangga 138 pada April kesan daripada isu pemalsuan dokumen tujuh pemain.

Susulan daripada isu itu, FIFA membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan dengan Cape Verde, Singapura dan Palestin yang menyaksikan Malaysia dianggap tewas 0-3 dalam perlawanan berkenaan kerana menurunkan pemain tidak layak.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kemudian turut mengambil langkah sama apabila membatalkan keputusan dua aksi Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal dan Vietnam dengan Malaysia juga diisytihar kalah 0-3.

Bagi rantau Asia Tenggara, Harimau Malaya ketika ini berada di kedudukan kelima di belakang Thailand (ranking 94), Vietnam (99), Indonesia (118) dan Filipina (135).

Selain itu, Ab Ghani menjelaskan kedudukan dalam ranking FIFA amat penting buat pasukan kebangsaan untuk mendapat undian yang lebih baik bagi kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia tahun depan.

“Pada Jun tahun depan akan diadakan undian dan saya juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa untuk kita dapat menaikkan semula kedudukan ranking.

“Sekurang-kurangnya (ranking) kita naik lagi dan Piala ASEAN FIFA juga ada mata, jadi kita perlu juga dapatkan mata itu kerana ia penting sebelum undian dibuat.

“Harimau Malaya mesti kita pastikan sekurang-kurangnya dalam balang 2, kita tidak mahu dalam balang 3 atau balang 4 sebab sukar nanti buat Harimau Malaya dalam pertandingan atau peringkat awal (kelayakan),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×