PETALING JAYA: Penerjun muda negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj mahu membuktikan penyertaan sulungnya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bukan sekadar pelengkap.
Penerjun berusia 21 tahun itu mungkin masih menjadi sasaran suara yang meragui potensinya, namun prestasi yang dilakarnya ketika ini membuktikan dia layak ke temasya berkenaan.
Emas Sukan SEA Thailand 2025, tiga pingat Kejohanan Akuatik Asia 2025 serta empat emas di SUKMA Selangor 2026 memberikan gambaran berbeza mengenai perjalanan karier Eilisha.
Eilisha berkata, dia tidak mahu membiarkan pandangan orang lain mengganggu fokusnya kerana tugas utamanya adalah terus membuktikan kemampuan di kolam.
“Saya tidak kisah apa orang cakap mengenai saya kerana itu hak mereka untuk bercakap, saya tidak boleh tutup mulut orang, jadi saya dengar dan terus buat ‘kerja’ saya sendiri.
“Siapa yang menghargai saya, saya hargai mereka, manakala siapa yang tidak kisah mengenai saya, saya juga tidak kisah kerana saya hanya mahu teruskan perjalanan saya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Lebih menarik, kebangkitan Eilisha hadir selepas dia melalui tempoh sukar termasuk kecederaan belakang sejak 2023 yang diakuinya pernah menjadi antara titik paling hampir membuatkan dirinya berputus asa.
Dia bagaimanapun bangkit dengan sokongan keluarga, jurulatih, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), sebelum mencipta kejayaan bersama Nurul Farisya Alia Affendi dengan emas 10m platform seirama wanita di Sukan SEA Thailand 2025.
“Lapan tahun ini memang terlalu lama kerana ada masa saya jatuh dan ada masa saya bangkit, jadi sekarang saya hanya mahu naik perlahan-lahan, dan saya harap dapat layak ke Olimpik,” katanya.
Sasaran itu kini diletakkan selepas Aichi-Nagoya dengan Eilisha menyifatkan kelayakan ke Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest tahun depan sebagai langkah penting dalam misi memburu tempat ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.-UTUSAN










