PETALING JAYA: Dominasi di kolam renang menjadi antara faktor utama yang menjulang Selangor kembali ke takhta keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) apabila skuad tuan rumah mengumpul 20 pingat emas, tujuh perak dan 11 gangsa.
Pada hari terakhir saingan renang di Akuatik Selangor kelmarin, tuan rumah menambah tiga lagi emas untuk mengukuhkan kedudukan sebagai kontinjen terbaik dalam kolam, selain mencipta dua rekod temasya.
Antara watak utama kebangkitan Selangor ialah Eliza Ai Shen Tan yang melengkapkan koleksi tujuh emas selepas membantu kuartet wanita memenangi acara 4×100 meter (m) rampaian dalam catatan 4 minit 18.87 saat (s), sekali gus memadam rekod temasya 4:19.79s milik Wilayah Persekutuan pada 2024.
Eliza sebelum itu turut mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod temasya 16 tahun dalam acara 50m gaya bebas dengan catatan 26.44s, mengatasi rekod 26.50s yang dilakukan Leung Chii Lin pada 2008.
“Saya sangat, sangat gembira dengan prestasi pada SUKMA pertama saya kerana memenangi semua acara individu dengan catatan terbaik peribadi, dan saya akan terus berlatih keras untuk memperbaiki masa,” katanya.
Perenang berusia 19 tahun itu turut menghidupkan peluang untuk merebut anugerah Olahragawati SUKMA selain memburu tempat dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA tahun depan selepas mengakui sudah berbincang dengan ketua jurulatih negara, Michael Kinross.
Sementara itu, jurulatih Selangor, Marilyn Chua menyifatkan kejayaan skuad renang menyumbang kepada kejuaraan keseluruhan sebagai hasil sokongan padu kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri Selangor serta perpaduan dalam pasukan yang menggabungkan perenang senior dan junior.
“Kami berbesar hati dapat menyumbang kepada kutipan pingat Selangor kerana kami menerima banyak sokongan daripada kerajaan negeri dan majlis sukan negeri, jadi kami sentiasa cuba memberikan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN











