Wan Kuzain kini jadi bualan peminat

Wan Kuzain kini jadi bualan peminat

Wan Ahmad Kuzain Wan Ahmad Kamal (dua dari kiri) meraikan gol jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Piala ASEAN 2026 menentang Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain kelahiran Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal mengakui dia bagaikan sedang bermimpi selepas berjaya membuka akaun jaringan bersama Harimau Malaya ketika Malaysia membelasah Laos 4-0 dalam aksi Kumpulan B Piala ASEAN 2026, kelmarin.

Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu, Wan Kuzain mencuri perhatian apabila menyempurnakan sepakan percuma menarik untuk melengkapkan malam gemilang skuad negara, sekali gus menghadiahkan kenangan paling manis sejak menyarung jersi Harimau Malaya.

Menurut Wan Kuzain, dia mengambil keputusan untuk terus melakukan percubaan ke arah gol selepas melihat penjaga gol Laos berada dalam keadaan sedikit teragak-agak dan menjangkakan hantaran lintang akan dilakukan.

“Saya lihat penjaga gol sedikit keliru. Saya fikir dia menjangkakan saya akan melakukan hantaran, jadi saya fikir kenapa tidak mencuba. Situasi seperti itu selalunya boleh menjadi detik istimewa dan saya gembira kerana ia berhasil.

“Cukup menakjubkan apabila dapat menjaringkan gol buat negara pada penampilan kedua. Kalau saya masih lagi ‘tidur’, jangan kejutkan saya lagi,” katanya.

Meskipun berjaya memenuhi harapan penyokong dengan jaringan sulungnya, pemain berusia 27 tahun itu mengakui tidak pernah meletakkan sasaran untuk terus berada dalam kesebelasan utama kerana sedar masih perlu menyesuaikan diri selepas menempuh perjalanan jauh dari Amerika Syarikat ke Malaysia.

Katanya, faktor ‘jet lag’, kekurangan rehat serta proses menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan baharu menyebabkan dia bersedia menerima apa sahaja peranan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan.

“Saya tahu ia tidak akan berlaku serta-merta kerana saya berdepan isu jet lag, kurang tidur dan masih menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan. Sama ada diberi lima minit, 15 minit atau 90 minit, saya tetap gembira dapat memainkan peranan untuk pasukan,” katanya.

Dalam masa sama, Wan Kuzain turut merendah diri apabila menolak tanggapan bahawa dia kini merupakan pilihan utama untuk mengambil sepakan percuma Harimau Malaya pada aksi-aksi akan datang.

“Saya faham tekanan adalah sebahagian daripada sukan dan ia sesuatu yang baik untuk memastikan kami terus memberikan aksi terbaik. Saya fikir kami masih mempunyai ramai pemain berkualiti yang mampu mengambil sepakan percuma,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN