PETALING JAYA: Prestasi baik yang dipamerkan beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani sejak kebelakangan ini, meletakkan mereka antara calon mencabar gelaran dunia di India, bulan depan.
Walaupun terkandas di separuh akhir Terbuka Jepun, selepas tunduk kepada juara dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 12-21, 21-11, 13-21, pasangan No. 6 dunia itu juga merupakan beregu yang menyingkirkan wakil Korea Selatan tersebut di peringkat sama pada Terbuka Indonesia, bulan lalu.
Sze Fei-Izzuddin berpotensi berdepan lawan yang sama pada Terbuka China yang bermula, esok, jika berjaya mara ke pentas akhir dan pertandingan Super 1,000 itu bakal menjadi persiapan terbaik menjelang Kejohanan Dunia.
Sze Fei berkata, penting untuk mereka kekalkan prestasi konsisten dan mengharungi perlawanan satu demi satu kerana ia bakal menjadi persiapan terbaik menjelang kejohanan berprestij tersebut.
“Saya rasa langkah demi langkah, kami cuma perlu cuba tingkatkan prestasi dalam setiap perlawanan dan berharap untuk menjadi lebih baik tidak lama lagi,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kelmarin.
Mengulas mengenai kekalahan kepada Won Ho-Seung Jae di Tokyo, Sze Fei memberitahu, berdepan beregu No. 1 dunia tersebut, pertahanan perlu mantap dan malangnya mereka gagal berbuat demikian.
Jelasnya, mereka berusaha sebaik mungkin untuk menyerang habis-habisan menerusi pukulan ‘smash’ secara bertali arus.
“Tetapi, pertahanan kami tidak begitu baik, fokus kami juga hilang selepas waktu rehat. Kami perlu kekal fokus untuk setiap mata dan setiap pukulan. Pihak lawan sangat bagus dan kami cuba untuk lebih banyak menyerang,” ujarnya.
Pemain berusia 29 tahun itu berkata, walaupun tewas, dia masih berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pada Terbuka Jepun, tetapi, yakin mereka boleh buat lebih baik pada masa akan datang.
Sze Fei-Izzuddin yang pernah menghuni ranking No. 1 dunia, akan membuka aksi mereka pada Terbuka China menentang gandingan ke-35 dunia, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh dari Taiwan, Rabu ini.-UTUSAN










