PETALING JAYA: Cabaran Golf Trofi Mazda 2026 berjaya menghimpunkan 188 pemain golf amatur termasuk wakil-wakil korporat, pengamal media, pencipta kandungan dan pempengaruh golf dalam usaha memperkukuh hubungan antara jenama Mazda dengan komuniti golf negara.
Kejohanan anjuran Bermaz Motor itu berlangsung di Tasik Puteri Golf & Country Club (TPGCC), sekali gus mencatat sejarah baharu apabila disertai seramai 188 pemain, berbanding penganjuran kejohanan sebelum ini.
Kejohanan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Tan Sri Ben Yeoh dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Low Yat merangkap Pengarah Urusan TPGCC, Datuk Low Gee Teong.

Cabaran 18 lubang itu menyaksikan peserta berentap di tiga padang golf utama TPGCC iaitu Putera, Puteri dan Tasik, dengan had handicap ditetapkan di bawah 24 bagi kategori lelaki dan 36 bagi kategori wanita.
Selain menguji kemahiran peserta di padang, kejohanan itu turut menawarkan empat hadiah menarik menerusi cabaran hole-in-one, termasuk sebuah Mazda CX-30 baharu di Lubang 8 (Puteri) dan Lubang 17 (Putera).
Dua lagi cabaran hole-in-one menawarkan hadiah tajaan Adidas bernilai RM15,000 masing-masing di Lubang 14 (Putera) dan Lubang 24 (Tasik).
Selepas tamat pertandingan, para peserta diraikan dalam majlis makan tengah hari dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Puteri Hall TPGCC yang baru dinaik taraf.
Peserta turut menerima beg cenderamata eksklusif mengandungi baju-T khas, beg serbaguna untuk kereta dan barangan mandian serta topi Mazda, selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah kategori khas dan cabutan bertuah bernilai tinggi.
Penganjuran Cabaran Golf Trofi Mazda 2026 turut mendapat sokongan penaja bersama iaitu Adidas dan F&N.
Pada kejohanan kali ini, pemain handikap satu, Wan Zaidil Afthar Ishak muncul juara gross selepas mencatat skor 67 nett. Manakala juara Kategori A menjadi milik pemain handicap lapan, Razid Sukiran dengan skor 69 nett, diikuti pemain handikap sembilan, Ahmad Suhaimi Mohd. Yassin (70 nett) dan pemain handikap lima, Lim Chee Kwang (70 nett OCB).
Sementara itu, bagi kategori B pula, pemain handikap 16, Fauzul Hazwan Khalid dinobatkan sebagai juara selepas merekod skor 71 nett, diikuti Roslan Ismail (71 nett) dan Fazlan Mohd. Desa (72 nett).
Bagi kategori senior pula, Kamaruzaman Abdullah dengan skor 73 nett dan Nur Azreen Mohd. Zin pula muncul juara kategori wanita dengan skor 72 nett. – UTUSAN










