LONDON: Juara Piala Dunia 2026, Sepanyol kembali merampas kedudukan No. 1 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikemas kini semalam, manakala naib juara, Argentina, turun ke tangga kedua.
Skuad kendalian Luis de la Fuente itu menewaskan juara dunia 2022, Argentina 1-0 menerusi masa tambahan dalam aksi final Piala Dunia, semalam, sekali gus kembali menghuni tangga teratas ranking dunia buat kali pertama sejak Januari.
Perancis dan England masing-masing kekal di tangga ketiga dan keempat walaupun skuad kendalian Thomas Tuchel menewaskan Les Bleus dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
Brazil melonjak ke tangga kelima, manakala Maghribi mencatat ranking tertinggi dalam sejarah apabila naik ke kedudukan keenam dunia.
Portugal pula merosot dua anak tangga ke tempat ketujuh selepas tersingkir pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
Belgium naik ke tangga kelapan dengan bertukar kedudukan bersama Belanda yang kini berada di tempat kesembilan.
Mexico melonjak empat anak tangga untuk menembusi kelompok 10 terbaik dunia, manakala Norway muncul pasukan yang mencatat peningkatan terbesar apabila melonjak 12 anak tangga ke kedudukan ke-19 selepas mara ke suku akhir Piala Dunia.
Jerman tercicir daripada kelompok 10 terbaik apabila jatuh ke tangga ke-12, satu anak tangga di belakang Croatia yang berada di kedudukan ke-13. Itali pula, yang gagal melayakkan diri ke Piala Dunia, merosot ke tangga ke-15.
Tunisia merekodkan kejatuhan terbesar apabila jatuh 12 anak tangga ke kedudukan ke-57.
Mesir pula naik lima anak tangga ke tempat ke-24, manakala Paraguay melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-34 selepas mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
Cape Verde yang mara ke pusingan 32 terbaik naik tiga anak tangga ke kedudukan ke-64, satu tangga di hadapan Ghana yang melonjak lapan anak tangga. – AGENSI










