BUDAPEST: Juara dunia Formula Satu (F1), Lando Norris meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan McLaren enggan membenarkannya menggunakan strategi undercut terhadap Oscar Piastri ketika menjuarai Grand Prix (GP) Hungary, kelmarin.
Norris percaya dia memiliki kelajuan yang jauh lebih baik berbanding Piastri dan sepatutnya diberi peluang memasuki pit lebih awal bagi memintas rakan sepasukannya menerusi strategi tersebut.
Sejak awal perlumbaan, Norris beberapa kali memaklumkan kepada pasukan menerusi radio bahawa dia lebih pantas, namun terperangkap di belakang Piastri dan ketika meminta untuk melakukan hentian pit terlebih dahulu, permintaannya ditolak oleh McLaren.
Malah, Norris secara terbuka mempersoalkan keputusan itu dengan berkata: “Maksud kamu, kamu tidak benarkan saya? Saya jauh lebih laju.”
Bagaimanapun, Norris akhirnya berjaya mendahului Piastri apabila mencatat beberapa pusingan terpantas selepas hentian pit kedua, manakala Piastri kehilangan masa akibat insiden dengan Carlos Sainz malah turut gagal menamatkan perlumbaan akibat masalah teknikal.
“Saya hanya mahu memenangi perlumbaan. Kami mempunyai peraturan sebagai satu pasukan dan tidak boleh menjejaskan perlumbaan masing-masing hanya kerana terlalu ghairah untuk menang.
“Tetapi saya mahu menang dan saya benar-benar mempunyai rentak yang jauh lebih baik. Ketika saya berada di belakang Oscar, Max Verstappen hanya berada tiga atau empat saat di belakang dan masih menjadi ancaman.
“Jika saya berada di depan, ancaman itu tidak lagi wujud dan peluang McLaren untuk memastikan kemenangan pasukan juga lebih terjamin,” katanya.
Ketegangan antara Norris dan pasukan turut jelas kedengaran menerusi komunikasi radio sepanjang perlumbaan apabila jurutera pasukan beberapa kali menasihatinya supaya tidak mengambil risiko berlebihan. – AGENSI/UTUSAN
Kedudukan keseluruhan
Pelumba Mata
1. Kimi Atonelli 219
2. Lewis Hamilton 169
3. George Russell 169
4. Charles Leclerc 138
5. Lando Norris 128
6. Max Verstappen 109
7. Oscar Piastri 92
8. Isak Hadjar 68
9. Liam Lawson 43
10. Pierre Gasly 42










