PETALING JAYA: Skuad boling padang wanita negara sedia membenam cabaran Kepulauan Falkland dalam aksi pembukaan acara beregu wanita boling padang di Sukan Komanwel Glasgow 2026, hari ini.
Atlet boling padang negara, Aleena Ahmad Nawawi menyasarkan kemenangan straight set ke atas pasangan Sharon Barnes dan Kristiane Thorsen dalam aksi pembukaan.
Aleena yang bergandingan bersama Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman berkata, mereka tidak mahu memberi ruang kepada lawan untuk mengheret perlawanan ke tie-break kerana ia hanya akan meningkatkan tekanan.
“Kami akan cuba menang straight set dan mengelakkan tie-break. Kami juga akan cuba bermain sebaik yang boleh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Aleena, keserasian bersama Syafiqa bukanlah sesuatu yang baharu apabila mereka pernah bergandingan di Kejohanan Lion City 2025, sekali gus memberikan keyakinan menjelang cabaran di Glasgow.
Mengulas sasaran mereka di temasya kali ini, Aleena tidak berselindung apabila mengimpikan sekurang-kurangnya membawa pulang pingat, malah berharap mampu menghadiahkan emas buat kontinjen negara.
“Kami mahu capai sekurang-kurangnya pingat dan kalau boleh sudah tentu sasaran kami adalah emas,” katanya.
Dalam pada itu, Aleena mengakui Australia yang dibarisi Dawn Hayman dan Kelsey Cottrell serta tuan rumah Scotland dijangka menjadi pencabar paling sukar dalam perebutan pingat.
Bagaimanapun, beliau percaya jika mampu mengekalkan fokus serta mempamerkan prestasi konsisten sejak aksi pembukaan, peluang Malaysia untuk melangkah jauh dalam saingan berpasangan wanita tetap terbuka luas. – UTUSAN










