HOUSTON: Pengendali Maghribi, Mohamed Ouahbi memberi amaran skuad Singa Atlas tidak akan mensia-siakan peluang untuk melakar satu lagi sejarah dan menganggap setiap perlawanan kini ibarat hidup atau mati menjelang aksi pusingan 16 terbaik menentang Kanada, esok.
Selepas mengejutkan Belanda menerusi penentuan penalti pada pusingan 32 terbaik, Maghribi kini memburu tiket suku akhir dengan keyakinan tinggi hasil pengalaman mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.
Pengalaman menewaskan gergasi Eropah seperti Sepanyol dan Portugal empat tahun lalu terus menjadi pemangkin buat Maghribi yang sekali lagi membuktikan mereka bukan lagi pasukan kejutan apabila seri dengan Brazil sebelum menyingkirkan Belanda.
“Jika kami melakukan kesilapan, kami akan pulang dan sebab itu kami perlu memastikan semua senjata yang kami miliki digunakan sebaik mungkin untuk melangkah sejauh yang boleh.
“Itulah mentaliti yang kami mahu tanamkan dalam setiap pemain kerana tiada ruang lagi untuk melakukan kesilapan di peringkat ini,” kata Ouahbi.
Skuad Afrika itu tampil dengan reputasi sebagai antara pasukan paling tersusun di kejohanan apabila mempamerkan disiplin taktikal tinggi selain dibarisi pemain berpengalaman seperti Achraf Hakimi, Yassine Bounou dan Brahim Diaz.
Kanada mungkin hadir dengan semangat luar biasa selepas mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama, namun Maghribi tetap dilihat memiliki kelebihan daripada aspek pengalaman beraksi di pentas terbesar dunia. – AGENSI










