PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Irfan Bakti Abu Salim meletak harapan tinggi agar pasukannya mampu bersaing dengan kelab-kelab elit di pentas Liga Super 2026/2027.
Sudah tentu, peningkatan kualiti saingan di pentas tertinggi bola sepak tempatan menuntut pasukannya membuat persiapan terbaik bagi memastikan mampu memberikan saingan selepas hadir daripada saingan Liga A1 Semi Pro.
Sedar dengan cabaran yang menanti anak buahnya, Irfan bagaimanapun percaya barisan pemain sentiasa bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk mempersiapkan diri mengharungi musim baharu ini.
“Sudah tentu saya gembira kerana akhirnya dapat membawa pasukan ini ke pentas Liga Super walaupun dalam masa sama gundah gulana juga untuk mempersiapkan pemain-pemain yang ada setakat ini sahaja.
“Tapi apa pun, pemain memang sedar bahawa beraksi di Liga Super ini memang tak sama dengan Liga A1 dan akan jadi lagi susah kalau tiada persediaan yang bagus untuk beraksi di pentas tertinggi ini.
“Saya kalau boleh tidak mahu kalau pasukan ini sampai jadi kelab belasahan sebab kita juga ingin beri persaingan dan saya percaya usaha dan kerja keras akan membuahkan hasil,” jelasnya.
Kali terakhir Irfan mengemudi kelab di pentas Liga Super adalah ketika bersama Kuching City FC pada musim 2021 sebelum memilih untuk bersara daripada Liga Malaysia.
Namun, beliau kemudiannya bersetuju untuk menggalas semula tanggungjawab sebagai ketua jurulatih apabila diberi kepercayaan untuk bersama KRW FC sejak musim lalu selain mengakui tidak sangka akan kembali ke pentas Liga Super sekali lagi.
“Saya sebenarnya memang sudah berniat nak bersara selepas Kuching City, tetapi apabila pihak pengurusan KRW FC datang sendiri ke rumah untuk memujuk saya, akhirnya saya terima.
“Tidak sangkalah kita berjaya untuk beri saingan terbaik di Liga A1 dan Alhamdulillah kita layak beraksi di pentas Liga Super. Cuma, kita pun sedar dalam pasukan ini mungkin tiada pemain yang nama-nama besar.
“Saya tetap berpesan kepada mereka yang kecergasan adalah aspek utama yang kena pegang dan usaha kena tiga kali ganda daripada Liga A1,” tambahnya. – UTUSAN










