PETALING JAYA: Kebangkitan luar biasa Kuching City dalam saingan Liga Super musim lalu bukan sahaja membawa pasukan itu muncul naib juara, malah turut membuka ruang kepada pemain pertahanannya, Rodney Celvin untuk menikmati pengiktirafan terbesar dalam karier bola sepaknya.
Pemain berusia 30 tahun itu mencipta sejarah peribadi apabila tersenarai dalam pencalonan 10 Pertahanan Terbaik Liga Malaysia (Liga M) Awards 2025-2026, membuktikan peningkatan prestasi yang dipamerkannya sejak menyertai Kuching City dua musim lalu tidak terlepas daripada perhatian.
Pencalonan tersebut hadir selepas Rodney memainkan peranan penting dalam membantu Kuching City membentuk antara benteng pertahanan paling ampuh dalam Liga Super dengan hanya dibolosi 14 gol sepanjang musim lalu.
Rekod tersebut menjadi antara faktor utama yang membantu Kuching City mencipta sejarah dengan menamatkan saingan sebagai naib juara Liga Super, pencapaian terbaik kelab itu sejak beraksi di liga utama negara.
Hasil daripada prestasi memberangsangkan bersama Kuching City juga menyaksikan Rodney bersama rakan sepasukan, Jimmy Raymond dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi kempen Piala AFF 2026.
Bagi Rodney, pencalonan tersebut sememangnya sesuatu yang membanggakan, namun dia menyedari cabaran besar menantinya apabila perlu bersaing dengan beberapa pertahanan terbaik negara bagi merebut anugerah berprestij itu.
“Perasaan memang gembira apabila tercalon dalam 10 pertahanan terbaik, tetapi saya tahu bukan mudah untuk menang kerana saya bersaing dengan ramai pertahanan yang berkualiti.
“Saya tetap bersyukur dengan pencalonan ini dan prestasi konsisten bersama Kuching City banyak membantu saya untuk terus memperbaiki diri di atas padang.
“Rakan-rakan sepasukan juga memainkan peranan besar kerana mereka sentiasa memberikan sokongan sama ada ketika latihan mahupun di luar padang. Sebagai pemain pertahanan, kami sentiasa berbincang sebelum perlawanan mengenai cara untuk mengurangkan kesilapan dan memastikan pasukan kekal kukuh di bahagian belakang,” katanya.
Rodney yang membuat 32 penampilan musim lalu berkata, kekuatan sebenar benteng Kuching City bukan terletak kepada individu tertentu, sebaliknya hasil persefahaman serta kerjasama seluruh barisan pertahanan.
Selain Rodney, sembilan lagi pemain lain yang bakal merebut anugerah itu adalah Quentin Cheng dan Harith Haiqal dari Selangor FC, Kamal Azizi serta Declan Lambert (KL City FC), Ubaidullah Shamsul Fazili, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Azam Azmi Murad (Terengganu FC), Zikri Khalili (Selangor FC) serta Corbin Ong (JDT).-UTUSAN










