PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan tiada sebarang pemotongan peruntukan dilakukan terhadap pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli apabila sebanyak RM1.8 juta disalurkan bagi musim 2026.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, dana tersebut disalurkan menerusi geran padanan sukan dan kerjasama bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) demi memastikan pembangunan karier Hakim Danish terus berada pada tahap terbaik.
“Bagi tahun 2026, tidak ada dana yang dipotong dan peruntukan tetap diteruskan kepada Hakim Danish sebanyak RM1.8 juta melalui geran padanan sukan dan juga SIC.
“Malah bagi penyertaan Hakim Danish dalam Kejuaraan Dunia Moto3, SIC turut menyediakan dana awal berjumlah RM453,000 melalui dana dalaman,” katanya ketika menjawab isu berkaitan sokongan kerajaan terhadap pembangunan atlet permotoran negara di Parlimen, semalam.
Menurut beliau, sejak 2021 pelbagai bentuk bantuan dan laluan pembangunan telah diberikan kepada Hakim Danish bermula daripada Asia Talent Cup, European Talent Cup, Piala Red Bull MotoGP Rookies dan Kejohanan Dunia JuniorGP sehingga berjaya melangkah ke Kejuaraan Dunia Moto3.
Jelasnya, KBS mula memberi perhatian serius terhadap pembangunan Hakim Danish sejak usia pelumba itu 13 tahun menerusi kerjasama bersama SIC di bawah program pembangunan bakat sukan permotoran negara.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada wira negara kita, Hakim Danish yang telah membanggakan Malaysia di persada dunia,” ujarnya.
Taufiq menegaskan, untuk pembangunan Hakim Danish sahaja, kerajaan melalui KBS telah memperuntukkan sebanyak RM8.93 juta dan fokus utama KBS bukan hanya tertumpu kepada seorang atlet, sebaliknya pembangunan akar umbi bagi melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia.
“Kita sudah melahirkan seorang Hakim Danish yang hebat, namun matlamat kita adalah untuk melahirkan 10 atau 20 lagi Hakim Danish bagi mewakili negara pada masa depan.
“Sebab itu kita turut memberi perhatian kepada bakat lain seperti Qabil Irfan, Qayyim Razin dan Sharf Muhriz serta bakat baharu yang sedang dibangunkan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru sektor korporat dan swasta tampil memainkan peranan membantu pembangunan sukan negara melalui penajaan dan sumbangan strategik kepada atlet.
“Pembangunan sukan negara bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi memerlukan sokongan semua pihak termasuk sektor korporat dan swasta,” katanya.-UTUSAN










