PETALING JAYA: Pemain tengah Harimau Malaya, Sergio Aguero percaya skuad kebangsaan masih memiliki kemampuan untuk mencipta kejutan dalam saingan Piala ASEAN 2026 meskipun tidak dibarisi pemain-pemain utama.
Bekas pemain Kanchanaburi Power FC itu berkata, keyakinan tersebut hadir berdasarkan kualiti pemain yang dipanggil selain sokongan barisan kejurulatihan berpengalaman yang sentiasa memastikan Harimau Malaya berada di tahap terbaik.
Katanya, setiap aspek persiapan pasukan diurus secara profesional dan perkara itu membolehkan pemain memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap prestasi di atas padang.
“Kami mempunyai staf kejurulatihan yang sangat baik dan profesional. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan saya tidak bimbang mengenai persiapan pasukan.
“Apa yang lebih penting ialah bagaimana kami sebagai pemain dapat memberikan prestasi terbaik serta membantu rakan sepasukan apabila kejohanan bermula nanti,” katanya.
Aguero berkata, Harimau Malaya tidak mahu memikirkan terlalu jauh sebaliknya mahu mengambil pendekatan satu perlawanan demi satu perlawanan sambil memastikan semangat juang tinggi menjadi identiti pasukan sepanjang kejohanan.
Menurutnya, setiap pemain perlu memberikan komitmen seratus peratus demi merealisasikan impian untuk membawa Malaysia melangkah sejauh mungkin dalam saingan berprestij Asia Tenggara itu.
“Kami mahu pergi sejauh yang mungkin. Jika ada peluang, kami mahu mara ke final. Jika tidak berjaya, kami tetap akan memberikan segala-galanya di atas padang. Apa yang penting ialah semangat juang dan usaha maksimum daripada setiap pemain untuk mengharumkan nama negara,” ujarnya.
Mengulas kemungkinan dirinya memiliki kelebihan menjelang pertemuan dengan Thailand hasil pengalaman beraksi dalam Liga Thailand sebelum ini, Aguero menegaskan perkara itu tidak memberikan sebarang keistimewaan kepada dirinya mahupun skuad negara.
Sebaliknya, beliau berpandangan kedua-dua pasukan sudah cukup mengenali kekuatan dan kelemahan masing-masing, justeru segala-galanya akan ditentukan menerusi aksi sebenar di atas padang.
“Bagi saya, pengalaman bermain di Thailand bukanlah satu kelebihan besar. Pemain Thailand juga mengenali saya dan kami juga mengenali mereka.
“Akhirnya, apa yang berlaku di atas padang nanti akan menentukan keputusan. Pasukan yang bermain lebih baik dan lebih konsisten akan memperoleh keputusan yang diinginkan,” katanya.-UTUSAN










