Harimau Malaya buru tonik awal

Harimau Malaya buru tonik awal

SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan menjelang aksi menentang Myanmar dalam saingan Piala AFF 2026 hari ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyeru anak buahnya tampil berjiwa besar dan kompak menjelang aksi pembukaan Kumpulan B Piala ASEAN 2026 menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon, hari ini.

Bagi Cheng Hoe, kekuatan sebenar skuad negara bukan terletak kepada kemampuan individu semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keserasian, semangat berpasukan dan keharmonian yang mampu diterjemahkan di atas padang sepanjang 90 minit perlawanan.

Pengendali berusia 58 tahun itu berkata, Malaysia hadir ke kejohanan berprestij Asia Tenggara tersebut dengan impian untuk melangkah sejauh mungkin, namun fokus utama ketika ini adalah memastikan Harimau Malaya memulakan kempen dengan langkah kanan.

“Sudah tentu kami mahu mencapai tahap tertentu dalam kejohanan ini dan kami akan fokus satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Saya berharap pemain dapat membentuk keserasian dan bekerjasama dengan baik kerana keharmonian dalam pasukan sangat penting bagi saya,” katanya.

Harimau Malaya berdepan tugas mencabar apabila turun menentang Myanmar yang kini dibimbing jurulatih berpengalaman dari Norway, Jørn Andersen.

Kehadiran bekas pengendali Filipina itu dilihat memberikan nafas baharu kepada skuad tuan rumah yang pastinya mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

Namun, Cheng Hoe bukanlah asing dengan tekanan dan cabaran kejohanan ini kerana beliau pernah menjadi sebahagian daripada sejarah gemilang bola sepak negara ketika membantu Malaysia muncul juara Piala AFF 2010 selaku penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagopal.

Beliau juga hampir mengulangi kejayaan itu apabila membawa Harimau Malaya mara ke pentas final edisi 2018 sebelum akur dengan kehebatan Vietnam yang menang 3-2 secara agregat.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan juga menunjukkan persaingan yang cukup seimbang, daripada enam pertemuan terdahulu, Malaysia dan Myanmar masing-masing mencatat dua kemenangan, manakala dua lagi perlawanan berakhir seri.

Bagaimanapun, Harimau Malaya memiliki sedikit kelebihan moral apabila berjaya memenangi dua pertemuan terakhir menentang Myanmar pada edisi 2018 dan 2022.

Dengan sembilan pemain belum pernah membuat penampilan bersama skuad senior negara, Cheng Hoe dijangka bergantung kepada pengalaman tonggak seperti Syafiq Ahmad, Paulo Josue dan Mohamadou Sumareh untuk membimbing kelompok pemain muda mengharungi tekanan pentas antarabangsa.

Menurut beliau, aksi pembukaan sentiasa menjadi perlawanan paling sukar dalam mana-mana kejohanan kerana ia sering menentukan tahap keyakinan pasukan bagi mengharungi baki saingan.

“Jika melihat kepada Kumpulan B, Thailand adalah pasukan pilihan. Pasukan-pasukan lain saya fikir mempunyai peluang yang sama rata untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Dalam mana-mana kejohanan, perlawanan pertama sentiasa yang paling sukar. Sebab itu aksi menentang Myanmar sangat penting. Kami mempunyai gabungan pemain senior, pemain bawah 23 tahun dan beberapa muka baharu, jadi saya berharap kami dapat memperoleh keputusan positif,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN