Hamilton akui silap sendiri jejas misi kejuaraan

Hamilton akui silap sendiri jejas misi kejuaraan

Lewis Hamilton
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Lewis Hamilton mengakui tiga perlumbaan terakhir Formula Satu (F1) menjadi detik paling mengecewakan buat dirinya musim ini apabila beberapa kesilapan sendiri menyaksikan peluang memburu kejuaraan dunia 2026 semakin sukar.

Juara dunia tujuh kali itu mengakui kesilapan yang dilakukannya telah menyebabkan dia kehilangan mata berharga, sekali gus meletakkan dirinya semakin jauh dalam perebutan gelaran menjelang cuti musim panas.

Hamilton dikenakan empat penalti sepanjang tiga perlumbaan terakhir termasuk dua hukuman pada Grand Prix (GP) Hungary apabila diturunkan tiga petak grid kerana menghalang Oscar Piastri ketika sesi kelayakan sebelum dikenakan penalti lima saat akibat memecut di lorong pit ketika perlumbaan.

Pemandu Ferrari itu turut menerima penalti lima saat selepas melakukan kesalahan ketika permulaan perlumbaan di GP Britain di Silverstone sebelum sekali lagi dihukum atas insiden pelanggaran dengan George Russell pada pusingan pertama GP Belgium di Spa.

“Saya tidak boleh mengatakan saya memasuki cuti musim panas dengan perasaan positif. Saya melalui tiga perlumbaan yang buruk dan saya perlu menerima hakikat bahawa saya telah melakukan beberapa kesilapan yang menyebabkan kehilangan banyak mata,” katanya.

Menurut Hamilton, tempoh rehat itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menilai semula prestasinya sebelum kembali lebih kuat bagi baki saingan musim ini.

“Saya perlu menggunakan masa ini untuk bermuhasabah dan menenangkan fikiran supaya dapat kembali dengan prestasi yang lebih baik,” katanya.

Penalti terbaharu di Hungary menyaksikan Hamilton sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima, sekali gus menggagalkan peluang Ferrari meraih mata maksimum ketika pasukan itu dilihat mampu memberi saingan kepada Mercedes.

Keputusan itu juga menyaksikan Hamilton kini ketinggalan 50 mata di belakang Andrea Kimi Antonelli dalam carta kejuaraan dunia selepas pelumba muda Mercedes itu berjaya menamatkan perlumbaan di podium. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN