BARCELONA: Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) dilaporkan sedang berusaha mendapatkan khidmat Pep Guardiola sebagai ketua jurulatih skuad Azzurri selepas mengadakan pertemuan dengan bekas pengendali Manchester City itu di Barcelona.
Menurut laporan Sky Itali, Pengarah Teknikal Itali, Paolo Maldin meluangkan masa selama tiga hari bagi membentangkan pelan pembangunan pasukan kebangsaan kepada Guardiola dalam usaha memujuk jurulatih dari Sepanyol itu menerima tawaran tersebut.
Bagaimanapun, belum ada sebarang pengesahan sama ada Guardiola bersedia kembali ke dunia kejurulatihan memandangkan dia sebelum ini menyatakan hasrat untuk berehat selepas menamatkan tempoh 10 tahun bersama City.
Selain Guardiola, FIGC turut dikatakan mempertimbangkan beberapa nama lain termasuk Roberto Mancini dan Andrea Pirlo sebagai calon mengisi kekosongan jawatan itu.
Pelantikan Maldini dan penasihatnya, Leonardo merupakan sebahagian daripada rombakan besar badan induk bola sepak Itali selepas kegagalan skuad Azzurri melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Mereka kini diberi tanggungjawab mencari pengganti Gennaro Gattuso yang melepaskan jawatan susulan kegagalan tersebut.
Guardiola kini bergelar ejen bebas selepas menutup tirai karier gemilang selama sedekad di City dengan meraih 20 trofi serta merekodkan kadar kemenangan 70.8 peratus.
Sebelum meninggalkan Stadium Etihad, pengendali berusia 55 tahun itu pernah menjelaskan dia mahu berehat daripada bola sepak bagi memberi tumpuan kepada kehidupan peribadi dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
“Saya tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melatih buat sementara waktu. Saya perlukan masa untuk mengundur diri,” katanya.
Guardiola turut mengakui dia tidak lagi mempunyai tenaga untuk mengharungi tekanan dan tuntutan tinggi sebagai seorang jurulatih di peringkat tertinggi.
“Saya mahu meluangkan lebih banyak masa bersama ayah dan anak-anak saya. Ada banyak perkara lain yang saya mahu lakukan dalam kehidupan,” katanya. – AGENSI










