F1 kembali ke Sepang?

F1 kembali ke Sepang?

Dr. Mohammed Taufiq Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harapan menyaksikan deruman enjin Formula Satu (F1) kembali menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semakin cerah apabila kerajaan mengesahkan telah menerima makluman awal berhubung cadangan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan berprestasi tinggi itu sebagai pengganti Grand Prix (GP) Bahrain.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah dimaklumkan mengenai kemungkinan tersebut, namun segala aspek berkaitan penganjuran masih dalam penelitian.

Menurut beliau, KBS sedang mengadakan perbincangan secara menyeluruh bagi menilai kesesuaian cadangan berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan telah menerima makluman awal kemungkinan penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang bagi menggantikan perlumbaan F1 Bahrain.

“Sehubungan itu, perbincangan serta penelitian sedang giat dijalankan. KBS kekal komited menyokong pembangunan sukan negara termasuk sukan permotoran dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan selepas dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Cadangan itu timbul susulan pembatalan perlumbaan GP Bahrain yang dikatakan berdepan risiko keselamatan akibat konflik berterusan di rantau Asia Barat, sekali gus membuka ruang kepada beberapa negara menawarkan diri sebagai lokasi pengganti.

Dalam senarai terkini, Malaysia dilaporkan muncul antara calon paling berpotensi dengan Sepang dilihat memiliki kelebihan dari segi logistik, kemudahan bertaraf dunia serta rekod cemerlang sebagai penganjur F1 selama hampir dua dekad.

Litar yang mula menjadi tuan rumah F1 pada 1999 itu sering menerima pujian daripada pelumba dan pasukan kerana reka bentuk teknikalnya, selain kemudahan moden yang memenuhi piawaian tertinggi perlumbaan dunia.

Malaysia kali terakhir menganjurkan GP F1 pada 1 Oktober 2017 yang menyaksikan pelumba Red Bull, Max Verstappen muncul juara, sebelum perlumbaan itu dihentikan atas faktor komersial dan kos penganjuran yang tinggi.

Kini, peluang untuk F1 kembali ke Sepang sekali lagi semakin terbuka sekiranya semua rundingan mencapai kata sepakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN