Wei Chong lega RTG terus beri sokongan

Wei Chong lega RTG terus beri sokongan

Man Wei Chong akan bergandingan dengan Soh Wooi Yik di Terbuka Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain beregu negara, Man Wei Chong lega selepas program Road To Gold (RTG) memberi jaminan akan terus memberi sokongan walaupun barisan kejurulatihan memecahkan gandingan beregu utama lelaki kebangsaan.

Wei Chong berkata, keputusan Jawatankuasa RTG untuk tidak terlalu memberi tekanan, sekurang-kurangnya membuka ruang kepada mereka untuk melonjakkan ranking dunia masing-masing.

“Mereka beri peluang juga sebab kita bermula dari kosong, walaupun gandingan asal sudah dipecahkan, mereka masih beri peluang selama setengah tahun.

“Jadi, bagus juga dalam tempoh ini harap saya boleh melonjakkan ranking bersama pasangan baharu saya, (Soh) Wooi Yik,” katanya.

Selain Wei Chong-Wooi Yik, Aaron Chia serta Tee Kai Wun yang juga berada di dalam program RTG masing-masing akan digandingkan dengan pasangan baharu iaitu Aaron Tai dan Yap Roy King.

Mengulas mengenai gandingan baharu itu, Wei Chong menjelaskan, dia masih mempunyai tiga minggu lagi untuk mencari keserasian menjelang Terbuka Jepun yang berlangsung pada 14 hingga 19 Julai depan.

“Saya kena buat latihan tambahan sebab sudah lama tidak berada di dalam gelanggang (akibat kecederaan). Komunikasi dengan Wooi Yik pun kena tingkatkan lagi.

“Wooi Yik adalah salah seorang pemain beregu lelaki terbaik di Malaysia dan juga di dunia. Keputusan dia pun memang bagus. Ini peluang besar untuk saya belajar daripada dia. Dia percayakan saya, jadi saya kena buat yang terbaik juga,” ujarnya.

Katanya lagi, apa yang boleh dilakukan pada ketika ini adalah fokus kepada prestasi kerana penting untuk mereka mengejar mata ranking demi perjuangan ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Walaupun Wei Chong mengakui tidak mudah untuk bermula semula dari bawah, tetapi, keputusan jurulatih perlu dihormati dan dia juga berharap proses pemulihannya berjalan dengan lancar.

“Sekarang rasa lebih baik. Saya mula berehat sejak Piala Thomas dan hari ini (semalam) baru kembali menjalani latihan. Keadaan rasa okey, lepas habis latihan pun tak rasa sakit,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN