PETALING JAYA: Pelari jarak jauh negara, Umar Osman meneruskan rentak kecemerlangannya apabila meraih perak dalam acara 800 meter (m) di Kejohanan Olahraga Terbuka New Taipei, Taiwan, hari ini.
Umar menamatkan lariannya 1 minit 49.40 saat (s) sekali gus memperbaiki catatan terbaiknya pada musim ini 1:50.19s.
Pingat emas dimenangi pelari dari Australia, Alex Twartz dengan catatan masa 1:47.94s manakala gangsa milik atlet tuan rumah, Jyun-Siang Huang (1:49.54s).
Seorang lagi wakil negara dalam acara tersebut, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan dengan catatan masa 1:50.92s.
Bagi acara 200m wanita pula menyaksikan wakil negara, Nur Aishah Rofina Aling menamatkan saingan di tempat ke-13 daripada 22 atlet dengan catatan masa 25.02s. – UTUSAN










