PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong akhirnya meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkuat kuasa 30 Jun ini, selepas lebih dua tahun dia bergelut dengan isu kecederaan belakang.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan BAM, hari ini, keputusan itu dibuat selepas perbincangan antara kedua-dua pihak yang berpandangan langkah berkenaan adalah yang terbaik buat Tze Yong dalam merancang fasa baharu karier profesionalnya.
Pemain berusia 26 tahun itu pernah mencapai ranking tertinggi dalam kariernya di kedudukan No. 14 dunia pada November 2023, selain melakar beberapa kejayaan bersama skuad kebangsaan.
Antara pencapaian terbaik Tze Yong adalah termasuk meraih pingat perak perseorangan lelaki dan emas berpasukan campuran pada Sukan Komanwel 2022.
Selain itu, anak jati Johor tersebut turut pernah membantu Malaysia muncul juara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022, selain, menyumbang pingat gangsa pada Piala Sudirman edisi 2021 dan 2023.
Perkembangan karier Tze Yong, bagaimanapun, terjejas akibat beberapa kecederaan serius termasuk perlu menjalani pembedahan belakang pada 2024 dan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL), tahun lalu yang memerlukan pemain itu melalui proses pemulihan panjang.
Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Tze Yong banyak berjasa kepada skuad negara sepanjang bersama badan induk itu.
“Tze Yong merupakan anggota penting pasukan kebangsaan dan sentiasa membawa nama Malaysia dengan penuh kebanggaan di pentas antarabangsa.
“Walaupun kecederaan menjejaskan perkembangannya sejak beberapa tahun lalu, semangat serta ketabahannya sepanjang proses pemulihan amat membanggakan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut beliau, selepas perbincangan mendalam, kedua-dua pihak akhirnya bersetuju Tze Yong meninggalkan BAM adalah jalan terbaik demi kariernya pada ketika ini.
“Bagi pihak BAM, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangannya kepada badminton Malaysia dan mendoakan kesihatan serta kejayaan buatnya pada masa depan,” katanya. – UTUSAN










