CUACA dingin dan hujan menyambut ketibaan konvoi Auto Bavaria Stargazing Glamping di Cameron Highlands. Sebelum itu, masing-masing ‘berpeluh’ melalui Jalan Ringlet-Sungai Koyan.
Bukan sebab panas tapi teruja melayan selekoh-selekoh sepanjang laluan kira-kira 80 kilometer (km) di situ. Rasa-rasanya ada lebih 100 selekoh yang masing-masing ada karakter sendiri.
Sekejap mendaki, sekejap menurun. Itu belum lagi di sesetengah lokasi yang jalannya beralun, perlu lebih berhati-hati.
Mungkin motosikal R nine T dinaiki saya dan isteri yang paling ‘comel’ jika dibandingkan dengan model-model siri kembara lain seperti GS dan RT, namun prestasi jentera kami tidak mengecewakan.

Sungai Koyan yang terletak di Lipis, Pahang ini terkenal dengan sejarah perlombongan emas dan pembukaan tanah rancangan Felda. Ada yang kata, Sungai Koyan mendapat namanya selepas penemuan emas berkoyan-koyan di dalam sungai.
Juga ada yang cerita, dahulu kala rombongan diraja Perak diketuai Tengku Yang datang ke situ untuk melombong emas. Namun, baginda hilang secara tiba-tiba dan tidak dijumpai meskipun misi pencarian dibuat dua kali.
Bagi mengenang kehilangan baginda, sungai tersebut dinamakan Sungai Tengku Yang. Namun, pelombong-pelombong Cina yang pelat menyebutnya ‘Sungai Koyang’ hingga lekat nama Sungai Koyan sehingga hari ini.

Ada juga cerita mengatakan nama Sungai Koyan berasal daripada perkataan Orang Asli bermaksud ‘hantu.’ Menarik juga rupa-rupanya cerita asal-usul Sungai Koyan.
Konvoi sebegini merupakan pertama kali dianjurkan oleh Auto Bavaria Ara Damansara menggabungkan 25 motosikal BMW serta 10 kereta Mini model Cooper dan Countryman. Ia dikhususkan untuk mereka yang berpasangan atau berkeluarga.
Perjalanan dari ibu negara ke Cameron Highlands memakan jarak 250km. Program bermula di bilik pameran Auto Bavaria Kuala Lumpur dengan para peserta dijamu sarapan pagi.

Selesai taklimat keselamatan, konvoi pun memulakan perjalanan. Pada mulanya perjalanan lancar tapi memasuki Genting Sempah melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, kenderaan semakin banyak dan perlahan membuatkan kami perlu lebih berwaspada.
Konvoi tiba di Tanah Rata untuk menikmati makan tengah hari di Hotel De’La Fern. Aturan masa memang cukup ‘cantik’ kerana sebaik sahaja sampai, hujan pun turun.
Bila perut sudah kenyang, hujan pula berhenti, kami pun ke destinasi penginapan, iaitu Stellar Glampsite. Terletak di puncak Bukit Golden, ia merupakan lokasi percutian yang unik berkonsepkan ala karavan. Pengunjung juga boleh memilih untuk menginap di dalam khemah atau kotej.
Oleh kerana hujan turun semula, banyak aktiviti yang sudah diatur untuk kami terpaksa dibatalkan. Namun, kami redah juga ke pasar malam yang terletak kira-kira 100 meter sementara menanti makan malam.
Di pasar malam, buat pertama kali saya menikmati jagung susu rebus yang merupakan antara tanaman istimewa di Cameron Highlands. Rasanya berlemak dan manis.

Juga pertama kali saya jumpa strawberi putih, bukan merah seperti lazim dilihat. Ia juga digelar pinebbery kerana rasa gabungan nanas dan strawberi.
Kemuncak acara malam itu adalah pratonton eksklusif warna baharu motosikal model R1300 GS sempena ulang tahun ke-33 BMW Motorrad Auto Bavaria kepada kami. Dinamakan Jahre iaitu daripada perkataan Jerman bermaksud ‘ulang tahun’, terdapat dua warna menarik, hijau dan kelabu pada corak baharu itu.
Ketua Jualan BMW Motorrad Auto Bavaria Ara Damansara, Ahmad Faisal Mustafa berkata, warna hijau melambangkan semangat dan motivasi organisasi tersebut.

“Warna hijau juga mewakili jiwa kembara pada model ini yang merupakan sebuah motosikal lasak.
“Warna kelabu pula melambangkan jalan tar,” katanya.










