PETALING JAYA: Pengunduran Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi daripada UMNO bukanlah disebabkan parti itu dikawal pihak luar sebaliknya kerana kecewa anaknya tidak dilantik menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkongsikan mesej WhatsApp oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu kepadanya yang memaklumkan bahawa dirinya sudah tidak berhasrat untuk mempertahankan kerusi disandangnya.
Bagaimanapun, dalam mesej itu, Mohd. Fuad memberitahu beliau telah memaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mempertimbangkan anaknya menjadi calon DUN Rengit.
Beliau juga memaklumkan akan mengumumkan pengunduran diri daripada UMNO sekiranya anaknya tidak dipertimbangkan sebagai calon pada PRN Johor.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, beliau amat kesal dengan kenyataan berbaur fitnah Mohd. Puad yang memberikan alasan utama keluar parti dengan mengaitkan kononnya kerana Istana mengawal UMNO Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu.
“Sedangkan beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya kepimpinan tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon di DUN Rengit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, memang benar anak Mohd. Puad masih muda dan berpotensi besar untuk dilatih dan diangkat sebagai pemimpin namun, tentulah parti mengambil kira banyak faktor dalam pemilihan seseorang calon dalam satu-satu pilihan raya.
“Walau bagaimanapun adalah tidak wajar bagi seorang pemimpin lama dan berpengalaman seperti beliau mengugut parti untuk mensyaratkan anaknya mesti menjadi calon menggantikan tempat beliau di DUN Rengit.
“Sekiranya tidak dipenuhi maka akan keluar parti bahkan tergamak pula mengugut mahu menghentam parti yang banyak jasa dan menaikkan beliau selama ini,” katanya.
Setiausaha Agung UMNO itu juga menegaskan bahawa UMNO bukan parti warisan anak beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan saudara mara untuk menjadi pemimpin.
Katanya, perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu.
“Maka amat tidak wajar, setelah segala ruang, kedudukan dan manfaat diperoleh, parti sendiri pula mahu diugut dan dihentam hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi. Bak kata pepatah Melayu, “air susu dibalas air tuba”, jasa dibalas dengan cerca, budi dibalas dengan ugutan,” katanya.-UTUSAN










