Serena kembali ke gelanggang

Serena kembali ke gelanggang

Serena Williams
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Legenda tenis Amerika Syarikat (AS), Serena Williams mengesahkan kepulangannya ke gelanggang kompetitif selepas hampir empat tahun menyepi apabila bakal beraksi dalam acara beregu wanita di Kejohanan Queen’s Club minggu depan.

Bekas pemain No. 1 dunia berusia 44 tahun itu menerima kad jemputan khas untuk menyertai kejohanan gelanggang rumput berprestij yang bermula pada 8 Jun ini.

Serena yang tidak beraksi sejak Terbuka Amerika Syarikat 2022 dijangka bergandingan dengan pemain muda Kanada, Victoria Mboko dalam kejohanan tersebut.

Pengumuman kepulangan pemenang 23 gelaran Grand Slam perseorangan itu mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat tenis di seluruh dunia selepas spekulasi mengenai kemunculannya semula hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu.

Menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial, Williams memberi bayangan mengenai berita tersebut dengan kapsyen berbunyi, “Nampaknya semua orang sudah mendengar berita itu”, sambil menunjukkan telefonnya menerima pelbagai notifikasi.

“Queen’s Club adalah tempat yang sempurna untuk memulakan bab baharu dalam perjalanan saya. Gelanggang rumput memberikan banyak kenangan bermakna sepanjang karier saya dan saya teruja untuk kembali bersaing di salah satu pentas paling ikonik dalam sukan ini,” kata Serena.

Pengarah kejohanan WTA Queen’s Club, Laura Robson pula menyifatkan Serena sebagai antara atlet terhebat dalam sejarah sukan dunia.

Kepulangan Serena turut menghidupkan semula perbincangan mengenai peluangnya memburu gelaran Grand Slam ke-24 bagi menyamai rekod sepanjang zaman yang dikongsi bersama Margaret Court dan Novak Djokovic.

Sebelum ini, Serena mengumumkan pengundurannya daripada tenis selepas tersingkir pada pusingan ketiga Terbuka AS 2022, namun enggan menggunakan istilah ‘bersara’ dan sebaliknya menyatakan dia sedang beralih kepada fasa baharu kehidupan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN