PETALING JAYA: Keputusan melakukan rombakan besar dalam kem beregu lelaki negara bukan berpunca daripada hilangnya keyakinan terhadap pasangan sedia ada, sebaliknya sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memburu pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky berkata, langkah berani itu dibuat selepas perbincangan menyeluruh bersama ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi serta Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei.
Menurut Rexy, barisan kejurulatihan tidak boleh terus bergantung kepada kombinasi sedia ada semata-mata apabila beberapa pemain muda mula menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan wajar diberikan peluang untuk diuji bersama pemain berpengalaman.
“Kita melihat ke depan untuk 2028. Bukanlah kerana kita sudah tidak yakin dengan Aaron dan Wooi Yik, tetapi kita juga perlu melihat kepada pemain-pemain muda yang sudah menunjukkan banyak peningkatan.
“Mengapa kita tidak cuba membuat kombinasi baharu antara pemain muda dan pemain berpengalaman? Mungkin daripada percubaan ini kita dapat melihat potensi gandingan yang mampu menjadi sandaran negara,” kata di sini, semalam.
Berdasarkan perancangan terbaharu BAM, Aaron Chia akan digandingkan bersama Aaron Tai, manakala Soh Wooi Yik bakal membentuk kombinasi baharu dengan Man Wei Chong bagi menghadapi Terbuka China, Terbuka Taiwan dan Terbuka Korea.
Pada masa sama, Aaron Chia yang sebelum ini dikaitkan dengan gandingan bersama Tee Kai Wun untuk Terbuka Jepun tidak akan beraksi pada kejohanan Super 750 tersebut susulan faktor kutipan mata ranking.
Rexy berkata, proses penilaian tidak hanya tertumpu kepada reputasi atau ranking pemain semata-mata, sebaliknya lebih menjurus kepada keserasian corak permainan serta keperluan taktikal di dalam gelanggang.
“Kita tidak boleh fikir apabila dua pemain bagus digandingkan, hasilnya akan menjadi lebih bagus. Apa yang paling penting adalah keperluan di dalam gelanggang.
“Aaron memerlukan pasangan yang bagaimana, begitu juga pemain-pemain lain. Itu yang akan menjadi pertimbangan utama dalam menentukan sesuatu gandingan,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua kombinasi baharu itu masih berada dalam fasa percubaan dan belum tentu akan dikekalkan sebagai pasangan tetap, dengan keputusan akhir bergantung sepenuhnya kepada prestasi yang dipamerkan dalam kejohanan akan datang. – UTUSAN










