Mbappe cemerlang bantu Perancis benam Senegal 3-1

Mbappe cemerlang bantu Perancis benam Senegal 3-1

KYLIAN Mbappe meledak dua gol ketika Perancis menewaskan Senegal 3-1 dalam aksi Kumpulan I Piala Dunia 2026.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EAST RUTHERFORD: Penyerang sensasi Perancis, Kylian Mbappe meledak dua gol ketika membantu Perancis memulakan misi memburu kejuaraan Piala Dunia ketiga mereka dengan kemenangan 3-1 ke atas Senegal dalam aksi Kumpulan I, sebentar tadi.

Bintang Real Madrid itu kini mengumpul 14 gol dalam sejarah Piala Dunia, hanya dua jaringan di belakang pemegang rekod sepanjang zaman, Miroslav Klose.

Selain Mbappe, Bradley Barcola turut mencatat nama sebagai penjaring ketika skuad Les Bleus meraih tiga mata penuh buat pasukan kendalian Didier Deschamps.

Mbappe memecahkan kebuntuan pada minit ke-66 apabila menyudahkan hantaran cemerlang Michael Olise selepas Perancis berdepan kesukaran sepanjang babak pertama sebelum bangkit lebih bertenaga selepas rehat.

Barcola yang dimasukkan sebagai pemain gantian menambah gol kedua pada penghujung permainan, namun rakan sekelabnya di Paris Saint-Germain, Ibrahim Mbaye merapatkan kedudukan buat Senegal pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, Mbappe memastikan kemenangan Perancis apabila meledak rembatan jarak jauh pada minit ke-96 untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Gol tersebut turut menyaksikan beliau muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis dengan 58 gol antarabangsa.

“Saya bermain untuk mencipta sejarah buat negara saya dan memastikan pasukan mara ke final serta memenangi Piala Dunia.

“Ini baru perlawanan pertama peringkat kumpulan. Akan ada yang terlalu teruja atau terlalu mengkritik, tetapi kami perlu kekal tenang dan fokus terhadap apa yang perlu dilakukan,” kata Mbappe.

Keputusan Deschamps mengubah posisi Olise daripada sayap kanan ke bahagian tengah ternyata menjadi faktor penting yang mengubah rentak permainan memihak kepada juara dunia dua kali itu.

Namun, Mbappe tetap menjadi tumpuan utama dalam penampilan antarabangsa ke-99 beliau bersama Perancis.

Pemain berusia 27 tahun itu meneruskan rekod hebatnya di pentas Piala Dunia selepas menjaringkan gol pada final 2018 ketika Perancis muncul juara, selain meledak hatrik pada final 2022 menentang Argentina meskipun tewas menerusi penentuan penalti.

Dua gol yang dijaringkan kali ini membolehkannya mengatasi rekod 13 gol milik Lionel Messi dan 12 gol legenda Brazil, Pele.

Beliau kini menyamai rekod 14 gol milik Gerd Muller, dengan hanya Klose dan Ronaldo Nazario yang memiliki 15 gol berada di hadapannya.

Perancis yang dianggap antara calon utama juara dijangka mampu melangkah mudah ke pusingan 32 terbaik dengan Iraq menanti dalam aksi berikutnya sebelum bertemu Norway yang dibintangi Erling Haaland.

“Ia satu kelegaan. Kami sedikit gugup dan berhati-hati pada awal permainan, tetapi kami berdepan lawan yang berkualiti,” kata Deschamps.

Jurulatih berpengalaman itu sebelum ini sering mengingatkan pemainnya agar tidak terlalu yakin walaupun dibarisi ramai bintang ternama.

Senegal pula mengimbau kenangan pahit Perancis pada Piala Dunia 2002 apabila pasukan Afrika itu mengejutkan juara bertahan tersebut 1-0 dalam aksi pembukaan sebelum Les Bleus tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Diketuai kapten berpengalaman, Sadio Mane, Senegal sebenarnya tampil lebih baik pada separuh masa pertama.

Nicolas Jackson hampir meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-25, namun percubaannya terkena tiang sebelum bola melantun mengenai penjaga gol Mike Maignan dan keluar.

Tidak lama kemudian, Ismaila Sarr turut mensia-siakan peluang terbaik apabila rembatan mudahnya melambung tinggi pada masa kecederaan babak pertama.

Perancis kemudian menguasai permainan selepas rehat apabila Olise beberapa kali mengucar-kacirkan benteng lawan.

Malah, Perancis hampir dihadiahkan penalti selepas Mbappe dijatuhkan Mane pada minit ke-60, namun pengadil, Alireza Faghani enggan memberikan sepakan penalti selepas semakan VAR.

Olise akhirnya mencipta gerakan yang menghasilkan gol pertama Mbappe sebelum Adrien Rabiot membuka ruang kepada Barcola untuk menjaringkan gol kedua.

Mbaye sempat memberi harapan kepada Senegal dengan gol pada minit ke-95, namun Mbappe menutup tirai perlawanan dengan jaringan ketiga Perancis seminit kemudian.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×