Mampukah Kai Xing-Aaron ulangi kejutan?

Mampukah Kai Xing-Aaron ulangi kejutan?

KANG Kai Xing-Aaron Tai akan berdepan pasangan India,  Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di pusingan pertama Terbuka Indonesia, esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Magis beregu muda negara, Kang Kai Xing-Aaron Tai, sekali lagi ditagih menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia yang bermula, hari ini, selepas mempamerkan prestasi baik di Singapura, minggu lalu.

Gandingan yang menghuni ranking ke-27 dunia itu sekali lagi bakal berdepan beregu No. 4 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada pusingan pertama di Istora Senayan, Rabu ini.

Pertembungan tersebut adalah yang ketiga buat juara remaja dunia 2024 itu pada tahun ini, selepas kedua-dua beregu terikat dengan rekod pertemuan 1-1.

Khai Xing-Aaron pernah mengejutkan Rankireddy-Shetty di All England, Mac lalu, sebelum kekalahan itu ditebus kembali pada suku akhir Terbuka Singapura dalam pertarungan sengit yang berlanjutan sehingga ke set penentuan.

Aaron berkata, tidak mudah berdepan Rankireddy-Shetty dan beregu handalan India itu sudah tentu mengkaji corak permainannya bersama Khai Xing.

“Apa yang paling penting kena tenangkan diri, sikap kurang sabar hanya akan membuka lawan ambil kesempatan terutamanya sewaktu berada di kedudukan mata penting,” kata pemain berusia 19 tahun itu.

Anak jati Melaka itu antara pemain muda yang berjaya meraih perhatian ramai dan bintang perseorangan wanita India, P. V. Sindhu menyifatkan Aaron seorang pemain yang memiliki pukulan sangat menarik ketika berada di dalam gelanggang.

“Aaron Tai seorang pemain yang sangat menarik. Saya telah mengikuti dia sejak di peringkat remaja lagi dan dia sentiasa dikenali kerana mampu menyempurnakan pukulan menarik di dalam gelanggang,” kata Sindhu menerusi perkongsiannya di laman X, minggu lalu.

Selain Khai Xing-Aaron, beregu No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijadual bertemu rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King, manakala, pasangan No. 8 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menentang Wesley Koh-Junsuke Kubo dari Singapura di peringkat 32 terbaik.

Dalam saingan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang berharap dapat kembali meraih momentum selepas kecederaan Pearly bakal membuka aksi menentang wakil Kanada, Jackie Dent-Crystal Lai.

Sementara itu, pasangan No. 11 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mengetuai cabaran beregu campuran di Istora Senayan, selepas Malaysia kehilangan khidmat Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akibat kecederaan.

Untuk sektor perseorangan, K. Ketshanaa bakal menghitung pertemuan dengan Line Hojmark Kjaersfeldt dari Denmark, manakala, Leong Jun Hao berdepan laluan getir apabila pemain No. 11 dunia, Kodai Naraoka dari Jepun menantinya di pusingan awal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN