LEESBURG: Lebih 1,000 dron dikesan menghampiri stadium dan lokasi rasmi Piala Dunia 2026 sejak kejohanan bermula, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan temasya terbesar bola sepak dunia itu.
Penyelaras khas Piala Dunia Rumah Putih, Andrew Giuliani berkata, sehingga Ahad lalu sebanyak 1,139 dron dikenal pasti berada berhampiran venue kejohanan dengan lebih 300 daripadanya berjaya dineutralkan pihak berkuasa.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) turut mengesahkan lebih 500 dron telah dirampas bagi tujuan siasatan selepas dipercayai melanggar zon larangan penerbangan di sekitar kejohanan.
FBI telah mengesan 1,139 dron di stadium dan lokasi berkaitan Piala Dunia setakat ini dengan lebih 300 daripadanya berjaya dineutralkan.
Selain itu, lebih 500 dron telah dirampas FBI untuk diproses sebagai bahan bukti dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Amerika Syarikat yang menjadi tuan rumah bersama Mexico dan Kanada menjadikan operasi anti-dron sebagai antara keutamaan keselamatan sepanjang Piala Dunia 2026 dengan memperuntukkan ratusan juta dolar bagi memperkukuh sistem pertahanan udara.
Sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan, pihak berkuasa tempatan diberikan kuasa lebih luas untuk mengganggu serta memintas dron, manakala puluhan anggota polis dari 11 bandar tuan rumah turut menerima latihan khas di pusat latihan FBI.










