SERDANG: Kuartet lelaki 4×100 meter (m) dan wanita negara menepati ramalan apabila berjaya mengungguli pingat emas pada hari terakhir Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium UPM, hari ini.
Dalam acara lelaki, kuartet yang dibarisi raja pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif tampil cemerlang dengan catatan masa 39.16 saat (s).
Kejayaan itu menewaskan cabaran Malaysia University (40.02s) di tempat kedua manakala gangsa menjadi milik pasukan dari Johor (40.41s).
Azeem berkata, walaupun kuartet lelaki negara itu dibentuk kurang daripada seminggu namun mereka tidak berdepan masalah memandangkan kesemuannya sudah mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah.
“Bagi saya, catatan masa hari ini iaitu 39.16 saat adalah satu catatan yang sangat bagus dan pantas, memandangkan ini kali pertama kami berlari bersama.
“Seperti yang kita lihat, pasukan kami mempunyai jurang yang agak jauh dengan pasukan lain, jadi boleh dikatakan tiada persaingan sangat. Namun, saya gembira pasukan lain cuba mencabar kami,” kata Azeem Ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Walaupun tidak berjaya memecahkan rekod kebangsaan, 39.03s namun Azeem optimis gandingan tersebut mampu melakukannya dalam masa terdekat.
“Saya sangat positif bahawa rekod kebangsaan tidak akan kekal lama jika kami digandingkan lagi selepas ini,” kata Azeem ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, bagi acara wanita pula menyaksikan kuartet negara yang dibarisi Fatin Ilyana Mat Nayan, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Lie Yee Teng melakukan catatan masa 46.47s untuk memenangi emas.
Perak dimenangi kuartet dari Johor selepas menamatkan larian 47.6s manakala gangsa dimenangi Sarawak (47.67s). – UTUSAN










