MONTERREY: Ketua jurulatih Belanda, Ronald Koeman mengakui Maghribi bukan lawan yang boleh dipandang ringan apabila kedua-dua pasukan bertembung pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Monterrey, esok
Koeman berkata, skuad Singa Atlas memiliki ramai pemain berkualiti serta keupayaan tinggi di bahagian serangan yang mampu menghukum sebarang kesilapan dilakukan Belanda.
“Saya tidak pasti kami adalah pasukan pilihan menentang Maghribi kerana mereka sebuah pasukan yang sangat baik dengan ramai pemain berkualiti dan mereka mampu menjaringkan gol dengan mudah.
“Kami sedar cabaran yang menanti dan perlu mempamerkan aksi terbaik jika mahu mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Belanda mara selaku juara Kumpulan F selepas mengumpul tujuh mata hasil kemenangan ke atas Sweden dan Tunisia serta seri dengan Jepun, manakala Maghribi menamatkan saingan Kumpulan C di tempat kedua di belakang Brazil hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.
Koeman berkata, semangat berpasukan yang dipamerkan anak buahnya sepanjang kempen peringkat kumpulan menjadi antara kekuatan utama Oranje menjelang aksi getir itu.
“Kami memiliki pemain yang gemar menguasai bola dan saya mempunyai sekumpulan pemain yang bekerja dengan sangat baik sebagai satu pasukan serta mempunyai semangat berpasukan yang cukup tinggi.
“Itulah identiti yang perlu kami kekalkan jika mahu terus melangkah jauh dalam kejohanan ini,” katanya.
Pertembungan itu turut mencuri perhatian kerana hubungan rapat antara kedua-dua negara apabila Maghribi dibarisi beberapa pemain kelahiran Belanda seperti Sofyan Amrabat, Noussair Mazraoui dan Anass Salah-Eddine selain penjaring utama mereka, Ismael Saibari, yang kini menyarung jersi PSV Eindhoven.
Pemenang perlawanan itu akan menempah slot ke pusingan 16 terbaik untuk berdepan pemenang aksi Kanada menentang Afrika Selatan, sekali gus menjadikan pertembungan Belanda dan Maghribi antara aksi paling dinanti pada fasa kalah mati. – AGENSI










