Khai Xing-Aaron, dua beregu campuran mara ke pusingan kedua

Khai Xing-Aaron, dua beregu campuran mara ke pusingan kedua

Aaron Tai-Kang Khai Xing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai mara ke pusingan kedua selepas diberi kemenangan percuma oleh gandingan No. 4 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Kecederaan bahu yang dialami Rankireddy telah mendorong juara Terbuka Singapura itu menarik diri sewaktu ketinggalan 11-6 kepada Khai Xing-Aaron dan permainan baru 7 minit berlangsung di Istora Senayan.

Kemenangan percuma yang diberikan beregu handalan India itu telah meletakkan kembali Khai Xing-Aaron mendahului rekod pertemuan ke atas Rankireddy-Shetty kepada 2-1.

Khai Xing-Aaron yang kini melonjak ke ranking No. 23 dunia akan berdepan satu lagi wakil India, Hariharan Amsakarunan-M. R. Arjun di peringkat 16 terbaik, esok.

Berdasarkan rekod pertemuan 1-0, Khai Xing-Aaron memiliki kelebihan psikologi ke atas Amsakarunan-Arjun yang mereka tewaskan pada suku akhir Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi, tahun lalu.

Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, dua pasangan Malaysia turut meneruskan kemaraan selepas Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing menewaskan lawan masing-masing.

Gandingan No. 12 dunia, Soon Huat-Shevon diberi tentangan sengit wakil tuan rumah, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emmanuelle Widjaja sebelum beroleh kemenangan 17-21, 21-16, 23-21 dalam masa 1 jam 10 minit.

Pada pusingan kedua, pasangan suami isteri itu akan menghitung pertemuan dengan satu lagi beregu Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu.

Pang Ron- Pei Jing pula mengetepikan Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata juga dari Indonesia 21-17, 21-9 dalam masa 31 minit.

Beregu yang baru digandingkan itu akan berdepan laluan getir menentang pasangan handalan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran di peringkat seterusnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN