PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengesyorkan agar pengurusan skuad Harimau Malaya dikembalikan sepenuhnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tidak lagi diuruskan secara berasingan oleh entiti khas.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, cadangan berkenaan sudah pun dimasukkan dalam laporan audit serta syor penambahbaikan yang dikemukakan pihaknya kepada FAM untuk Tindakan bagi proses penambahbaikan.
Menurut Windsor, struktur pengurusan Harimau Malaya seharusnya berada di bawah tanggungjawab FAM melalui jawatankuasa khas yang diwujudkan, selaras dengan amalan pentadbiran bola sepak antarabangsa.
“Kita sudah masukkan dalam cadangan. Pulang balik kepada FAM, jawatankuasa skuad kebangsaan atau apa juga mekanisme yang sesuai perlu menguruskannya (Harimau Malaya),” katanya selepas Kongres Luar Biasa FAM di sini, semalam.
Mengulas sama ada cadangan itu bermaksud FAM akan mengambil semula sepenuhnya pengurusan skuad kebangsaan, Windsor menjelaskan, ia perlu dikendalikan terus oleh badan induk berkenaan.
“FAM sepenuhnya (urus skuad kebangsaan), macam dululah,” katanya.
Ketika ini, Harimau Malaya diuruskan di bawah satu unit jawatankuasa yang ditubuhkan oleh FAM dan diletakkan di bawah struktur baharu bersama tiga entiti berbeza, dengan pengurusan diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend
Fokus utama jawatankuasa itu ialah pengukuhan pengurusan profesional, pencarian pemain warisan, pembangunan prestasi tinggi serta perluasan rangkaian antarabangsa bagi meningkatkan daya saing Harimau Malaya.
Sebelum ini, skuad kebangsaan terpalit dengan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September tahun lalu mendapati wujud unsur pengubahsuaian atau pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan tujuh pemain ‘warisan’ terbabit.
Susulan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.7 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM9,800) berserta penggantungan selama 12 bulan.
Ketika ditanya isu tujuh pemain warisan, Windsor berkata, kes berkenaan kini tidak lagi berada di bawah bidang kuasa AFC dan telah diserahkan sepenuhnya kepada FIFA serta agensi berkaitan.
“Kes melibatkan tujuh pemain tersebut kini di bawah bidang kuasa FIFA. Jadi untuk perkembangan laporan polis, perlu ditanya kepada pihak polis. Untuk kes FIFA, perlu ditanya kepada FIFA,” katanya. – UTUSAN










