Kejayaan Hakim Danish di Brno satu kejutan - Zulfahmi

Kejayaan Hakim Danish di Brno satu kejutan – Zulfahmi

Kejayaan Hakim Danish menjuarai GP Republik Czech di Litar Brno, hujung minggu lalu telah mencetus sensasi di seluruh tanah air. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mentor yang mendidik Hakim Danish Ramli, Zulfahmi Khairuddin tidak menduga sama sekali pelumba Moto3 negara itu mampu mengukir kejayaan besar pada Kejuaraan Motosikal Dunia dalam tempoh yang singkat.

Pengurus pasukan SIC Racing itu berkata, tanpa meletakkan beban yang terlalu berat untuk digalas pelumba muda itu, pihaknya hanya menyasarkan satu podium untuk penampilan sulung Hakim Danish selaku pesaing tetap dalam kelas Moto3.

“Alhamdulillah, ini satu kemenangan yang sangat membanggakan. Sejujurnya, saya tidak menjangkakan Hakim Danish mampu meraih kemenangan perlumbaan Grand Prix (GP) begitu awal kerana ini adalah musim pertamanya,” katanya.

Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mencatat masa terpantas 33 minit 34.264s untuk mengungguli GP Republik Czech selepas memintas dua pencabar dari Sepanyol, Brian Uriarte dan Maximo Quiles pada pusingan terakhir di Litar Brno, kelmarin.

Hakim Danish yang kini berjaya mencatat dua keputusan podium selepas sembilan pusingan, berada di tangga ketujuh dengan 73 mata dalam senarai keseluruhan pelumba Moto3.

Menurut Zulfahmi, beliau sentiasa percaya dengan kemampuan Hakim Danish dan kelmarin, pelumba berusia 18 tahun itu membuktikan bahawa anak Malaysia mampu bersaing serta menang dalam perlumbaan yang sangat sengit di peringkat dunia.

Jelasnya, sepanjang minggu ini, Hakim Danish menunjukkan potensi yang luar biasa dan berjaya memacu laju jenteranya, walaupun kali pertama beraksi di Litar Brno.

“Saya amat bangga dan mengucapkan tahniah kepada Hakim Danish atas pencapaian yang cukup istimewa ini. Lebih manis, kemenangan ini meletakkan Malaysia pada satu tahap yang berbeza dalam sukan permotoran.

“Saya sentiasa yakin negara kita mempunyai ramai bakat. Jadi, apa yang kita perlu adalah program yang stabil,” ujar Zulfahmi yang merupakan pelumba pertama negara mencatat podium dalam kelas Moto3.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN