TORONTO: Perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Dunia 2026 antara Kanada dan Bosnia & Herzegovina awal pagi esok di Stadium BMO bakal menjadi pentas penting buat kedua-dua pasukan dalam usaha memburu tiket ke pusingan kalah mati.
Sebagai salah satu tuan rumah kejohanan, Kanada hadir dengan harapan tinggi penyokong sendiri untuk memulakan kempen dengan kemenangan, manakala Bosnia & Herzegovina mahu meneruskan momentum selepas menempuh laluan play-off Eropah yang mencabar untuk layak ke kejohanan terbesar dunia itu.
Aksi ini dianggap kritikal kerana kemenangan mampu meletakkan mana-mana pasukan di kedudukan terbaik menjelang perlawanan terakhir kumpulan.
Sebaliknya, keputusan seri akan membuka ruang kepada dua lagi pencabar, Qatar dan Switzerland untuk menentukan nasib kumpulan tersebut.
Berdasarkan prestasi semasa, Kanada dilihat memiliki sedikit kelebihan terutama dengan faktor beraksi di laman sendiri.
Penyerang berbisa, Jonathan David dijangka menjadi sandaran utama dalam usaha memecah benteng pertahanan Bosnia yang terkenal dengan corak permainan bertahan dan disiplin tinggi.
Skuad bimbingan Jesse Marsch bagaimanapun masih belum menunjukkan ketajaman sebenar di bahagian serangan apabila seri tanpa jaringan dalam dua aksi pemanas badan terakhir menentang Tunisia dan Ecuador.
Bagaimanapun, kemenangan 2-0 ke atas Venezuela sebelum ini membuktikan mereka tetap memiliki kemampuan untuk mencipta ancaman.
Bosnia pula hadir dengan rekod cemerlang dan keyakinan tinggi selepas menyingkirkan Wales dan Itali menerusi penentuan penalti dalam kempen kelayakan.
Keupayaan bangkit daripada ketinggalan dan beraksi tenang dalam situasi tekanan tinggi menjadi kekuatan utama pasukan kendalian Sergej Barbarez itu.
Perhatian turut terarah kepada tahap kecergasan bintang Kanada, Alphonso Davies, yang masih bergelut dengan kecederaan hamstring menjelang kejohanan.
Sekiranya pemain sayap kiri Bayern Munich itu diturunkan, Kanada dijangka memperoleh dimensi tambahan dalam serangan menerusi kelajuan dan kemampuan menyerangnya dari bahagian kiri.
Di kem Bosnia, legenda mereka, Edin Dzeko, terus menjadi tonggak utama walaupun sudah berusia 40 tahun, pengalaman luas penyerang veteran itu bersama Ermedin Demirovic dijangka menjadi senjata utama untuk menguji ketahanan benteng Kanada.
Dari sudut taktikal, pertarungan di bahagian tengah antara Stephen Eustaquio dan gandingan Amir Hadziahmetovic serta Benjamin Tahirovic dijangka menjadi penentu rentak permainan.
Jika Eustaquio berjaya mengawal tempo dan berjaya melakukan umpanan menarik kepada penyerang serta pemain sayap Kanada, tuan rumah berpotensi menguasai perlawanan.
Namun, jika Bosnia berjaya mengekang kreativiti pemain tengah itu dan mengekalkan organisasi pertahanan yang kemas, perlawanan dijangka berlangsung sengit dengan peluang jaringan yang terhad. – AGENSI/UTUSAN










