Jerman perlu bangkit elak tersingkir

Jerman perlu bangkit elak tersingkir

JERMAN perlu memperkemaskan rentak permainan dalam aksi menentang Paraguay, esok.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOSTON: Jerman perlu mempamerkan aksi lebih meyakinkan apabila berdepan Paraguay dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 sekiranya tidak mahu impian memburu gelaran dunia kelima berakhir lebih awal.

Walaupun berjaya muncul juara Kumpulan E, prestasi skuad kendalian Julian Nagelsmann masih belum benar-benar meyakinkan apabila beberapa tonggak utama gagal menampilkan aksi terbaik sepanjang kejohanan.

Juara dunia empat kali itu memulakan kempen dengan bergaya apabila membelasah Curacao 7-1 sebelum mencatat kemenangan dramatik ke atas Ivory Coast menerusi jaringan masa kecederaan untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.

Bagaimanapun, kekalahan mengejut 2-1 kepada Ecuador dalam aksi terakhir kumpulan menamatkan rentetan sembilan kemenangan berturut-turut mereka, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong terhadap kemampuan pasukan itu untuk melangkah lebih jauh.

Lebih membimbangkan, bintang-bintang utama seperti Florian Wirtz, Jamal Musiala dan Kai Havertz masih gagal menyerlah, manakala penyerang gantian, Deniz Undav muncul penjaring terbanyak Jerman setakat ini dengan tiga gol.

Nagelsmann turut berdepan masalah di bahagian pertahanan apabila Nico Schlotterbeck terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Ivory Coast.

Ketiadaan Schlotterbeck menyaksikan Antonio Rudiger dijangka terus bergandingan dengan Jonathan Tah di benteng pertahanan, manakala Nathaniel Brown bakal kembali mengisi posisi bek kiri selepas pulih daripada kecederaan otot.

Tiada rombakan besar dijangka dilakukan oleh Nagelsmann dengan gandingan Havertz, Wirtz dan Musiala dijangka terus mengetuai jentera serangan bagi menghadapi Paraguay.

Sementara itu, Paraguay menerima tamparan apabila Diego Gomez terlepas perlawanan akibat penggantungan selepas mengutip kad kuning kedua kejohanan ketika menentang Australia.

Namun, mereka menerima suntikan semangat dengan kembalinya Miguel Almiron selepas selesai menjalani penggantungan, manakala Omar Alderete dan Ramon Sosa masih menjalani penilaian kecergasan sebelum keputusan dibuat sama ada mereka mampu diturunkan.

Di bahagian serangan, Gabriel Avalos dijangka sekali lagi diberi tanggungjawab mengetuai jentera depan meskipun hanya meledak dua gol dalam 25 penampilan bersama skuad kebangsaan Paraguay. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN