TORONTO: Jerman tidak mahu meraikan kejayaan mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 secara berlebihan meskipun kemenangan dramatik ke atas Ivory Coast berjaya menamatkan penantian panjang sejak 2014.
Jurulatihnya, Julian Nagelsmann menegaskan, skuad kendaliannya masih perlu mengekalkan fokus kerana sasaran utama mereka adalah melangkah lebih jauh dalam kejohanan tersebut.
“Kami mempunyai cita-cita yang tinggi. Perkara paling penting sekarang adalah memberi tumpuan kepada langkah seterusnya,” kata Nagelsmann apabila ditanya sama ada kejayaan melepasi peringkat kumpulan merupakan sesuatu yang patut diraikan.
Jerman yang sebelum ini tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2018 dan 2022 menamatkan penantian mereka selepas pemain gantian, Deniz Undav meledak gol kemenangan pada minit terakhir permainan.
Nagelsmann mengakui gembira dengan pencapaian pasukannya, namun enggan melihat kejayaan tersebut sebagai penamat kepada misi mereka.
“Inilah yang kami harapkan dan saya sangat gembira untuk pasukan saya,” katanya.
Dalam masa sama, Nagelsmann tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan Undav dalam kesebelasan utama ketika berdepan Ecuador pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Khamis ini.
Bagaimanapun, Nagelsmann berpendapat penyerang Stuttgart itu ketika ini cukup berkesan apabila diturunkan sebagai pemain gantian.
“Saya boleh meletakkannya dalam kesebelasan utama. Setiap pemain mahu bermula dari awal permainan, tetapi saya fikir dia juga gembira dengan peranannya ketika ini,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Ivory Coast, Emerse Fae berkata, dia tetap berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan anak-anak buahnya.
“Kami masih mempunyai segala-galanya untuk diperjuangkan. Saya sangat gembira dengan persembahan pemain sepanjang 90 minit. Saya fikir kedua-dua pasukan layak untuk menang.
“Objektif utama kami adalah untuk melepasi peringkat kumpulan,” katanya.
Walaupun tewas, Ivory Coast masih berpeluang untuk melangkah ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah mereka sekiranya berjaya menewaskan Curacao minggu depan. – AGENSI










