BOSTON: Iraq belum mengangkat bendera putih biarpun tewas 1-4 kepada Norway dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2026, hari ini.
Pengendalinya, Graham Arnold menegaskan anak buahnya tidak boleh berputus asa dan perlu bangkit dalam aksi seterusnya.
Menurut Arnold, Iraq masih mempunyai dua lagi perlawanan untuk memburu kemenangan yang berpotensi membawa mereka ke pusingan kalah mati.
Walaupun tewas, Arnold melihat banyak perkara positif daripada persembahan skuad Iraq yang kembali beraksi di pentas Piala Dunia selepas penantian 40 tahun.
“Kami memberikan tekanan yang baik kepada Norway, tetapi beberapa kesilapan kecil menentang pemain bertaraf dunia akan dihukum. Kami perlu belajar daripada kesilapan tersebut dan terus memperbaiki diri,” kata Arnold.
Arnold mengakui gol kedua Norway yang berpunca daripada hantaran lemah ke belakang kepada penjaga gol, Jalal Hassan menjadi detik yang mengubah rentak perlawanan.
“Ia memberi kesan kepada mental pemain. Saya cuba menaikkan semangat mereka dan mengingatkan bahawa apa yang berlaku sudah berlalu dan kami perlu bergerak ke hadapan,” katanya.
Dengan format baharu Piala Dunia yang membenarkan beberapa pasukan tempat ketiga terbaik mara ke pusingan seterusnya, Arnold berkata, Iraq tidak perlu panik.
“Kami masih berada dalam saingan peringkat kumpulan dan masih ada sembilan mata untuk direbut.
“Kami perlu mengambil semua perkara positif daripada perlawanan ini dan bersedia untuk aksi berikutnya.
“Peluang untuk layak sebagai pasukan tempat ketiga masih ada dan tiga mata mungkin sudah mencukupi untuk membawa anda ke pusingan seterusnya,” tambahnya.- AGENSI










