PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mencadangkan jumlah Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikurangkan daripada 17 kepada 11 orang menerusi draf pindaan statut baharu yang bakal dibentangkan dalam Kongres Luar Biasa (EGM) FAM pada 4 Jun ini.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan tadbir urus badan induk bola sepak negara selaras dengan amalan terbaik yang digunakan oleh persatuan bola sepak maju di Asia.
Katanya, struktur Exco yang lebih kecil dan efisien diyakini mampu mempercepatkan proses membuat keputusan serta meningkatkan keberkesanan pentadbiran FAM.
“Kita cadangkan tiga kerusi Exco untuk persatuan bola sepak negeri, dua kerusi untuk kelab, satu kerusi bagi bola sepak wanita dan satu kerusi mewakili kumpulan pakar iaitu jurulatih, pengadil serta pemain.
“Secara keseluruhannya Exco hanya akan mempunyai 11 anggota berbanding 17 sebelum ini. Ia lebih kecil, lebih kemas dan kita berharap mampu memberikan hasil yang lebih baik kepada pembangunan bola sepak negara,” katanya
Selain itu, Windsor menjelaskan draf statut baharu turut memberi penekanan terhadap penyertaan lebih meluas semua pemegang taruh dalam bola sepak Malaysia termasuk kelab, jurulatih, pengadil dan pemain.
Katanya, semua pihak yang terlibat secara langsung dalam ekosistem bola sepak perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan serta mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan di peringkat Kongres.
“Mereka mempunyai hak yang sama seperti ahli gabungan lain untuk mengundi, mencadangkan agenda, mencalonkan calon dan mengambil bahagian dalam pemilihan.
“Ini bukan lagi sistem yang eksklusif. Kita mahu proses yang lebih inklusif supaya lebih ramai pihak dapat terlibat dalam pembangunan bola sepak,” katanya.
Dalam pada itu, AFC turut mencadangkan syarat pencalonan yang lebih longgar bagi menggalakkan lebih ramai individu bertanding jawatan utama dalam FAM.
Bagi jawatan Presiden, calon hanya memerlukan empat pencalonan berbanding enam sebelum ini, manakala tiga pencalonan diperlukan untuk jawatan Naib Presiden dan dua pencalonan bagi kerusi Exco.
Windsor berkata, perubahan itu dibuat sejajar dengan pertambahan jumlah ahli gabungan yang dijangka melebihi 40 badan menerusi struktur baharu tersebut.
“Prinsipnya mudah, apabila ahli semakin ramai, syarat pencalonan perlu dipermudahkan supaya lebih ramai calon berpotensi tampil menawarkan diri.
“Kita mahu memastikan sesiapa yang layak mempunyai peluang untuk bertanding dan bukannya tersingkir sebelum proses pemilihan bermula,” ujarnya.
Beliau menambah, semua calon yang bertanding juga perlu memenuhi beberapa syarat ketat termasuk memiliki sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman aktif dalam pentadbiran bola sepak secara berterusan.
Malah, setiap calon diwajibkan melepasi saringan integriti melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Insolvensi serta laporan integriti antarabangsa daripada Sportradar.-UTUSAN










