Dua bekas jurulatih cuba singkir Beasley?

Dua bekas jurulatih cuba singkir Beasley?

JOHN Beasley (kiri) berharap Malaysia memberi tumpuan kepada pembangunan sukan berbasikal trek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendakwa dua bekas jurulatih kebangsaan menjadi dalang bagi menjatuhkan Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley.

Menurut pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu, gerakan untuk menyingkirkan Beasley bukan isu baharu, malah dipercayai sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu susulan rasa tidak puas hati kedua-dua individu terbabit terhadap jurulatih dari Australia itu.

“Persoalannya, kenapa baru sekarang mereka tampil melakukan ‘vendetta’ terhadap John selepas sekian lama? Itu yang perlu dirungkai,” dedah Azizulhasni di laman sosialnya.

Azizulhasni mendakwa, salah seorang daripada bekas jurulatih berkenaan pernah disingkirkan susulan isu salah laku, manakala seorang lagi ditamatkan kontrak oleh majikannya atas faktor usia.

Bagaimanapun, kedua-duanya dipercayai menyalahkan Beasley atas apa yang berlaku kepada mereka.

Beliau tidak menafikan wujud perbezaan pandangan mengenai corak latihan antara pihak terbabit dengan Beasley, namun menegaskan pendekatan yang dibawa jurulatih berusia 65 tahun itu sudah terbukti berkesan apabila berjaya melahirkan juara dunia serta pemenang pingat Olimpik buat Malaysia.

“John sudah lebih 20 tahun mencurahkan khidmat kepada sukan berbasikal negara. Saya menyokongnya bukan kerana dia bekas jurulatih saya, tetapi kerana saya melihat sendiri sumbangan besarnya kepada pembangunan sukan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azizulhasni turut mendedahkan satu sesi dialog bersama jurulatih-jurulatih negeri pernah diadakan bagi meredakan ketegangan, namun mendakwa ia gagal mencapai matlamat asal.

Menurutnya, sesi yang sepatutnya menjadi medan perbincangan terbuka itu akhirnya hanya tertumpu kepada isu perlumbaan Yayasan Sime Darby (YSD), tanpa sebarang penyelesaian dicapai.

“Townhall itu sepatutnya menjadi platform perbincangan terbuka untuk pelbagai isu, namun moderator memaklumkan hanya dua perkara dibincangkan iaitu perlumbaan YSD dan Program Pengenalpastian Bakat (TID).

“Namun, selama dua jam berlangsung, isu TID langsung tidak disentuh dan perbincangan hanya berkisar mengenai perlumbaan YSD kerana dua jurulatih terbabit tidak berpuas hati mengenainya.Akhirnya tiada sebarang solusi dicapai dan ia hanya membuang masa,” katanya.

Kemelut membabitkan Beasley terus menjadi perhatian arena berbasikal tempatan selepas timbul spekulasi mengenai kedudukannya.

Bagaimanapun, PKBM pada Jumaat lalu mengesahkan Beasley masih kekal sebagai Pengarah Teknikal dan akan terus menjalankan tugasnya sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN