PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki negara, Brendon Carolan tetap berpuas hati dengan pencapaian pemainnya selepas menamatkan kempen Piala Negara-Negara di tempat kelima walaupun sasaran utama adalah mara ke separuh akhir kejohanan.
Menurut Carolan, kedudukan tersebut tetap memberi gambaran positif terhadap perkembangan pasukan yang sedang melalui fasa pembangunan menjelang beberapa tugasan penting selepas ini.
“Sudah tentu, ini adalah cara yang baik untuk mengakhiri kejohanan. Saya rasa kami menamatkan kejohanan dengan empat kemenangan dan dua kekalahan. Malangnya, kami kalah dalam dua perlawanan yang penting, tetapi ini adalah fasa pembangunan untuk kami.
“Sudah tentu, kami mahu berada di separuh akhir dan pusingan playoff, kami sentiasa mahukannya. Tetapi ia adalah cara yang positif untuk memberi kami momentum menjelang dua bulan yang sangat sibuk untuk kami,” katanya.
Malaysia muncul pasukan kelima terbaik kejohanan selepas mereka menewaskan Scotland 4-2 di Cape Town, Afrika Selatan, kelmarin.
Mengulas mengenai perancangan Speedy Tigers, Carolan berkata, skuad negara akan mengalihkan fokus kepada lima siri perlawanan persahabatan menentang Afrika Selatan di Durban yang disifatkannya sebagai medan ujian penting buat pasukan.
“Kami mahu memperbaiki aspek pertahanan, memantapkan pegangan bola serta meningkatkan tekanan pertahanan dan kawalan dalam bulatan.
“Saya percaya jika kami dapat meningkatkan prestasi dalam aspek-aspek tersebut, kami mampu merapatkan jurang dengan empat pasukan yang berada di atas kami dalam kejohanan ini,” katanya.-UTUSAN










