HOUSTON: Pendatang baharu Piala Dunia, Cape Verde, akan berdepan juara bertahan Argentina pada pusingan 32 terbaik selepas seri tanpa jaringan dengan Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan H, hari ini.
Keputusan seri di Houston itu, ditambah kemenangan 1-0 Sepanyol ke atas Uruguay, menyaksikan pasukan yang menghuni ranking ke-67 itu menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan di belakang Sepanyol.
Kekal tanpa kalah dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan, negara kepulauan yang mempunyai populasi lebih 500,000 penduduk itu akan bertemu Argentina yang diketuai Lionel Messi di Miami pada 3 Julai ini, sekali gus menambah satu lagi bab dalam kisah luar biasa mereka.
Sepanyol, yang terikat 0-0 dengan Cape Verde dalam aksi pembukaan, mengumpul tujuh mata, manakala Cape Verde mengakhiri saingan dengan tiga mata. Uruguay dan Arab Saudi pula tersingkir selepas masing-masing hanya meraih dua mata.
Sepanyol akan menentang naib juara Kumpulan J yang bakal ditentukan sama ada Algeria atau Austria.
Dengan sejarah menanti, jurulatih Cape Verde, Bubista, membuat perubahan terhadap separuh daripada kesebelasan utamanya, sebahagiannya disebabkan faktor kecederaan, namun tetap mengekalkan penjaga gol berpengalaman, Vozinha.
Penjaga gol berusia 40 tahun itu sebelum ini menjadi wira apabila beraksi cemerlang untuk membantu Cape Verde mengikat juara Eropah, Sepanyol, dalam penampilan sulung mereka di Piala Dunia.
Cape Verde, yang terletak di pantai barat Afrika, kemudian mencatat keputusan seri 2-2 menentang juara dunia dua kali, Uruguay, sekali gus membuka peluang yang sukar dipercayai untuk mara ke pusingan kalah mati menjelang pertemuan dengan Arab Saudi.
Pada masa sama di Guadalajara, Sepanyol dan Uruguay berentap dalam saingan kumpulan yang cukup sengit sehingga penentuan terakhir.
Cape Verde tampil sedikit lebih baik pada babak pertama menentang Arab Saudi yang sebelum ini seri 1-1 dengan Uruguay sebelum dibelasah Sepanyol 4-0.
Arab Saudi menerima tamparan apabila pertahanan berpengalaman, Hassan Al-Tambakti, terpaksa dikeluarkan menggunakan pengusung pada minit ke-33 akibat kecederaan.
Sepanyol membuka jaringan menjelang tamat babak pertama di Mexico dan berita itu disambut sorakan penyokong Cape Verde di Houston.
Willy Semedo hampir meletakkan Cape Verde di depan, namun percubaannya sedikit tersasar, manakala kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang berbahaya dalam separuh masa pertama yang berlangsung tegang.
Ketika itu, Cape Verde berada di landasan untuk mara dengan mengatasi Uruguay.
Tiga minit selepas rehat, Jamiro Monteiro memperoleh peluang terbaik dari jarak dekat tetapi gagal menyudahkannya dengan baik. Kevin Pina kemudian hampir menjaringkan gol menerusi rembatan jarak jauh yang sedikit tersasar.
Ketegangan semakin memuncak memasuki suku terakhir permainan, namun Arab Saudi dilihat kurang kreativiti walaupun mereka perlu memburu kemenangan.
Pada minit ke-75, penjaga gol Mohammed Al-Owais melakukan aksi menyelamat penting untuk menafikan percubaan Laros Duarte.
Keputusan seri sudah memadai buat Cape Verde, malah mereka dilihat lebih berpotensi untuk menjaringkan gol ketika perlawanan memasuki minit-minit akhir.- AGENSI










