Banyak kelemahan - AFC

Banyak kelemahan – AFC

Timbalan Setiausaha Agung AFC Vahid Kardany membentangkan laporan audit FAM di Kelana Jaya, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdepan pelbagai kelemahan membabitkan tadbir urus, akauntabiliti dan pengurusan organisasi berdasarkan audit yang dijalankan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Dapatan itu dibentangkan kepada perwakilan pada Kongres Luar Biasa FAM oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC Vahid Kardany, semalam.

Menerusi pembentangan itu, badan induk bola sepak negara itu disifatkan mengalami masalah yang bukan berpunca daripada satu jabatan tertentu, sebaliknya kegagalan yang berulang merentasi hampir keseluruhan struktur organisasi.

“Saya fikir gred yang kamu lihat di paparan terakhir ia menunjukkan (FAM) berada di tahap pra pertengahan. Kita bercakap mengenai prestasi yang perlu ada dalam organisasi.

“Saya fikir kamu boleh nilai organisasi anda tetapi apa yang kamu perlu fokuskan bermula hari ini adalah organisasi ini akan ada ahli berbeza, pemegang taruh dan sangat inklusif. Jadi, FAM tidak akan sama dengan apa yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Kardany.

Penilaian AFC menunjukkan kebanyakan jabatan dalam FAM hanya berada pada Tahap 2 atau pra pertengahan dengan markah antara 1.2 hingga 1.8 daripada skala lima tahap kematangan organisasi.

Antara bahagian yang dinilai termasuk Tadbir Urus dan Perundangan, Pentadbiran dan Logistik, Kewangan dan Pengurusan Risiko, Infrastruktur dan Fasiliti, serta Pertandingan, Kelab dan Pengurusan Acara.

Hanya bahagian Komunikasi dan Media mencapai Tahap 3 dengan skor 2.0, sekali gus menjadi satu-satunya unit yang melepasi kelompok skor jabatan lain.

Dalam perkongsian sama, AFC juga mendedahkan FAM tidak mengumumkan perbelanjaan tahunan kepada kongres sejak 2016.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan apa yang dikongsikan wajar dijadikan panduan untuk menjadikan FAM sebagai persatuan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Adalah separuh-separuh, ada yang terkejut (hasil laporan audit), ada yang kita tahu masalahnya. Walaupun bajet tidak dibentangkan, tetapi 10 tahun lepas statut tidak memerlukan ia dibentangkan, jadi bila tukar statut, mungkin FAM terlupa kena bentang.

“Salah tetap salah daripada segi pentadbiran, sudah tukar statut, kamu kena bentang tetapi yang tidak ikut statut hanya tiga ke empat tahun saja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN